Tiga orang suspek dikenal pasti telah terlibat di dalam pembunuhan Arissa. Sewaktu diberitahu tentang penangkapan suspek-suspek tersebut Arianna benar-benar lega. Akhirnya ada keadilan buat Arissa. Arianna tahu ketiga-tiga mereka yang merupakan rakan sekuliah Arissa melakukan itu semua kerana dendam. Dendam kerana Arissa tidak mahu berkawan dengan mereka. Dendam kerana mereka merasakan maruah mereka tercabar. Arianna benar-benar berharap ketiga-tiga mereka akan dihukum gantung. Barulah dia akan merasa puas dan kematian Arissa terbela.
Biarpun berita penangkapan suspek itu diketahui oleh keluarga Arianna, kesedihan kerana kehilangan Arissa tidak akan terpujuk. Puan Ainon mula jatuh sakit selepas kematian Arissa. Tiap-tiap malam nama Arissa tidak lekang di bibir Puan Ainon. Arianna yang setia menemani ibunya turut bersedih. Kesedihan seorang ibu mungkin tidak dapat difahami oleh Arianna tetapi dia tahu peristiwa mendadak itu tidak dapat diterima dengan senang. Arissa yang ceria dan penuh dengan gelak tawa sudah tiada lagi. Rumah mereka seolah-olah sudah kehilangan cahaya yang menjadi sinaran.
Arianna menyuakan sudu yang berisi bubur ayam ke mulut ibunya. Puan Ainon tidak bertindak balas. Tiada tanda Puan Ainon akan membuka mulutnya. Arianna menarik kembali tangannya. Keluhan dilepaskan perlahan. Wajah pucat ibunya ditatap dengan penuh kasih.
“Ibu…makanlah sikit. Dah seminggu ibu macam ni. Jangan buat adik risau…”pujuk Arianna biarpun dia tahu ibunya akan tetap menolak. Telahan Arianna tepat. Puan Ainon menggeleng perlahan. Airmata yang bertakung di kelopak mata mula gugur membasahi pipinya yang semakin cengkung.
“Along….ibu nak along…along…”luah Puan Ainon sayu.
Arianna mengetap bibir cuba menahan hiba di hati. “Ibu….”
“Adik…along akan balikkan? Tak lama lagi exam dia dah nak habis…tentu dia balik rumah. Adik pergi kemas bilik dia…”racau Puan Ainon. Digenggam erat kedua-dua tangan Arianna membuatkan Arianna terkejut. Emosi ibunya semakin tidak stabil. Kerinduan terhadap Arissa menjadikan Puan Ainon hilang pertimbangan. Pemergian Arissa seolah-olah membawa bersama semangatnya.
“Ibu, janganlah macam ni! Along dah tak ada!” kata Arianna dalam tangisan sambil mendakap erat tubuh Puan Ainon. Esakan Puan Ainon semakin kuat. Nama Arissa disebut-sebut dalam nada sayu. Arianna turut menangis bersama ibunya, menghamburkan segala kesedihan dan kerinduan terhadap Arissa. Biaupun mereka berdua mengerti yang Arissa tidak mungkin akan kembali lagi tetapi kehilangan yang begitu tidak disangka itu memberi kesan yang mendalam kepada keluarga mereka.
Ketika ini, apa yang Arianna harapkan adalah semoga permohonan Encik Azrai untuk ditukarkan ke ibu pejabat di Kuala Lumpur akan segera diluluskan. Arianna tidak betah hanya berdua dengan ibunya di dalam rumah itu berhadapan dengan kenangan-kenangan Arissa yang memenuhi setiap ruang. Apatah lagi perbicaraan kes pembunuhan Arissa akan bermula minggu hadapan. Arianna pasti akan menghadirinya bersama abahnya untuk melihat bagaimana pembunuh kakaknya dihukum mengikut undang-undang. Arianna mahu kematian Arissa terbela.
Arianna tersentak apabila telefon rumah berdering. Pelukan ibunya dileraikan dan bergegas turun ke ruang tamu. Saat telinganya mendengar butir bicara di sebalik corong telefon Arianna tergamam dan kaku di tempatnya. Pipi yang masih basah sekali lagi dihujani airmata yang gugur satu persatu. Dadanya terasa seperti ditindih dengan sebiji batu yang besar, menyukarkan dirinya untuk bernafas. Arianna meletakkan gagang telefon ke tempatnya. Dengan langkah longlai Arianna mendaki anak-anak tangga menuju ke bilik ibunya.
Pintu bilik ditolak perlahan. Mata Arianna dan Puan Ainon bersatu dan Arianna terus kaku di muka pintu dengan deraian airmata. Puan Ainon memandang Arianna lama. Jelas di wajahnya ingin tahu apa yang telah berlaku dan kenapa Arianna berkelakuan begitu setelah menjawab panggilan sebentar tadi.
“Siapa telefon?”tanya Puan Ainon.
Serentak dengan pertanyaan itu Arianna menerpa ke arah Puan Ainon lalu memeluk ibunya. Pelukannya semakin kuat, sekuat tangisannya. Puan Ainon yang masih tidak mengerti apa-apa turut membalas pelukan anaknya sambil menepuk-nepuk perlahan belakang tubuh Arianna cuba untuk menenangkannya.
“Kenapa ni adik? Kenapa menangis macam ni?”suara lembut Puan Ainon menerpa ke gegendang telinga Arianna yang masih menangis.
“Abah….abah….”esakan yang masih belum reda membuatkan Arianna tidak dapat memberitahu dengan betul. Hanya itu yang terkeluar dari mulutnya. Dan pastinya berita yang baru didengar ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Seperti kapal yang karam dilambung ombak tsunami. Tangisan Arianna semakin nyaring dan Puan Ainon tidak dapat berbuat apa-apa. Di tubir mata Arianna terbayang senyuman abahnya. Lama-kelamaan wajah abah semakin kabur dan terus kabur. Abah….
Perkarangan mahkamah majistret 4 di Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur agak sesak. Arianna yang berdiri di sudut balkoni sedari tadi memerhatikan gelagat-gelagat mereka. Terdapat 3 orang lelaki yang berpakaian serba hitam yang mana Arianna tahu mereka adalah peguam yang mempunyai kes untuk dibicarakan pada hari ini. Terdapat juga beberapa wartawan di situ, cuba untuk mendapatkan maklumat tentang kes yang akan berlangsung.
Arianna melihat jam di pergelangan tangannya. Sudah pukul 2 petang, sebentar lagi mahkamah akan bersidang. Peguam-peguam tadi mula memasuki ruang mahkamah. Arianna dan beberapa orang awam turut melangkah masuk membontoti peguam-peguam tadi. Arianna mengambil kerusi yang paling belakang, mahu memerhatikan dari jarak jauh. Sengaja untuk menyembunyikan diri, agar tiada sesiapa dapat mengecamnya.
Sudah dua minggu kes Arissa dibicarakan. Selama itulah hanya Arianna yang menghadiri perbicaraan itu tanpa ditemani sesiapa. Puan Ainon masih terlantar sakit di rumah. Biarpun ibunya berdaya untuk ke mahkamah namun Arianna tidak mahu ibunya bersusah payah sedangkan Arianna boleh menjadi wakil. Apatah lagi ibu masih bersedih dengan kematian abah. Arianna sendiri masih meratapi pemergian abah namun dikuatkan hatinya untuk hadir. Pada awalnya Arianna menyangkakan abah akan menemaninya namun kemalangan di tempat kerja telah meragut nyawa abah. Arianna dan Puan Ainon kini kehilangan tempat untuk bergantung.
Arianna benar-benar bingung dan buntu. Dalam masa sebulan dia kehilangan dua orang yang paling penting dalam hidupnya. Arissa pergi dalam keadaan yang menyayat hati manakala abah menyusul tatkala Arianna dan ibu memerlukan abah untuk menjalani kehidupan. Pada siapa lagi yang boleh Arianna dan ibu berpaut? Mereka berdua seolah-olah kehilangan kedua-dua belah kaki. Tidak mampu untuk berjalan lagi.
Hampir sejam kes Arissa dibicarakan dengan laporan forensik daripada doktor dan keterangan daripada dua orang saksi. Sepanjang itu juga Arianna merasa hairan. Disebabkan itulah sebaik sahaja tamat prosiding mahkamah Arianna segera menemui Inspektor Mokhtar yang turut hadir. Inspektor Mokhtar agak terkejut melihat Arianna. Dia tidak menyangka gadis itu menghadiri perbicaraan. Fikirnya keluarga Arissa tidak akan hadir kerana Encik Azrai baru sahaja meninggal dunia.
“Arianna…? Apa yang awak buat kat sini?”soal Inspektor Mokhtar pelik.
“Menghadiri perbicaraanlah….”balas Arianna.
“Tapi abah awakkan…”
“Ini apa yang abah saya mahukan kalau dia masih hidup…”celah Arianna sebelum sempat Inspektor Mokhtar menghabiskan kata-katanya. Inspektor Mokhtar menganggukkan kepalanya memahami apa yang cuba disampaikan oleh Arianna. Dia juga dapat merasakan keghairahan anak muda itu untuk mendapatkan keadilan buat kakaknya.
“Tapi Inspektor, saya musykil satu perkara…”luah Arianna. Wajah Inspektor Mokhtar yang berkerut mendengar dipandang.
“Tentang apa Arianna?”
“Setahu saya ada tiga suspek. Kenapa jadi dua pulak?”soal Arianna. Sejak di dalam mahkamah lagi Arianna pelik apabila hanya ada dua nama yang menjadi suspek di dalam kes pembunuhan Arissa. Sedangkan semasa penangkapan dibuat oleh pihak polis terdapat tiga orang lelaki yang menjadi suspek utama.
“Sebenarnya pihak pendakwaan menjadikan Encik Ammar sebagai saksi di dalam kes ini. Lagipun tiada bukti untuk sabitkan dia di dalam kes pembunuhan Arissa. Memang dia bersama dengan Arissa pada hari kejadian tetapi ada kecemasan berlaku di rumahnya sebab tu dia tinggalkan Arissa di Semarak dan dia pulang ke rumah. Encik Ammar ada alibi untuk mengukuhkan kenyataan dia. Jadi dia tidak bersalah di dalam kes ini. Pihak pendakwa jadikan dia saksi sebab dia sedar akan niat jahat dua suspek tersebut…”jelas Inspektor Mokhtar.
Arianna terdiam seketika. Cuba memikirkan penjelasan pegawai polis itu. “Sebegitu mudah?”terletus kata-kata itu di bibir Arianna.
Terangkat kening Inspektor Mokhtar. “Apa maksud Arianna?”
“Macam mana kalau dia yang rancang semua tu? Macam mana kalau dia sengaja tinggalkan kakak saya kat tempat tu? Lelaki tu dalang dalam kes ni! Takkan inspektor tak nampak?” Arianna membuat spekulasi berdasarkan apa yang diketahuinya.
Keluhan kedengaran dari bibir Inspektor Mokhtar. “Saya faham perasaan Arianna. Arianna mahu menuntut keadilan di atas kematian Arissa. Arianna mahu mereka yang terlibat diberi hukuman yang setimpal. Tapi setiap bukti harus diteliti. Setiap maklumat perlu diselidik. Sememangnya pada awal Encik Ammar dijadikan suspek, tetapi selepas pihak polis melakukan siasatan dan terdapat bukti kukuh yang Encik Ammar tidak bersalah jadi undang-undang tidak dapat mengapa-apakan dia. Pada pengamatan saya pun dia tidak bersalah dalam hal ni.”
“Tapi dia yang menyebabkan kematian kakak saya! Dia harus dihukum! Dia pembunuh!”lantang Arianna menyuarakan kemarahannya terhadap lelaki bernama Ammar itu. Membiarkan Arissa menjadi mangsa nafsu buas kawan-kawannya, membiarkan Arissa terdedah kepada bahaya dan sengaja membuka jalan kepada kawan-kawannya menjadikan lelaki bernama Ammar itu sebagai pembunuh Arissa di mata Arianna. Arianna tidak akan memaafkan lelaki itu biarpun undang-undang membuktikan lelaki itu tidak bersalah.
“Kenapa dia terlepas Tuan? Kenapa?”soal Arianna geram. Wajah Inspektor Mokhtar ditenung tajam. Inspektor Mokhtar mengerti kemarahan gadis muda itu. Namun undang-undang tidak boleh menghukum orang yang tidak bersalah.
“Arianna, majistret melepaskan dia sebab tiada bukti dia terbabit dalam kes ni. Lagipun hanya air mani dua orang suspek yang dijumpai di kemaluan mangsa.”jelas Inspektor Mokhtar.
“Tapi dia mesti tahu tentang perkara tu kan, Tuan? Dia mesti tahu niat kawan-kawan dia! Kenapa dia tak halang? Kenapa dia biarkan kawan-kawan dia rogol dan bunuh kakak saya? Dia pun bersubahat dengan kawan-kawan dia!”bentak Arianna, menegaskan kembali spekulasi yang dibuatnya sebentar tadi. Dia benar-benar tidak berpuas hati hanya dua orang sahaja yang didapati bersalah membunuh kakaknya hanya kerana tidak cukup bukti untuk mendakwa lelaki tersebut.
“Maaf Arianna. Mengikut bukti, suspek ketiga mempunyai saksi untuk membuktikan dia tiada di tempat kejadian. Malah dia juga tidak pernah tahu niat kawan-kawannya. Malah kawan-kawannya juga menafikan pembabitan suspek ketiga. Itu sudah mencukupi untuk majistret melepaskan suspek. Saya harap Arianna bersabar dan terima ini semua dengan redha…”
Arianna diam. Tanpa menunggu lama dia meninggalkan perkarangan mahkamah. Inspektor Mokhtar sekadar memerhatikan hingga langkah Arianna tidak lagi kelihatan. Nampak benar kemarahan pada gadis muda itu. Inspektor Mokhtar berharap kemarahan itu tidak menjadikan Arianna seorang pendendam. Doanya di dalam hati.
No comments:
Post a Comment