Friday, May 27, 2011

Mengapa Harus Cinta: BAB 2


Arianna memandang ke arah Arissa yang bermain di gigi pantai. Arissa memang sukakan pantai. Ada kedamaian disitu. Itu yang Arissa beritahunya dulu. Arianna pula lebih gemarkan air terjun. Bagi Arianna air terjun sangat nyaman dan bersih tidak seperti laut yang sudah tercemar dengan minyak-minyak kapal dan kesan pembangunan. Apatah lagi air masin pantai akan menyebabkan badan melekit-lekit. Arianna lebih cerewet berbanding Arissa soal kebersihan.
                “Bila abah nak balik ke Terengganu?”soal Arianna. Wajah tenang Encik Azrai yang sedang menyuap sandwich ke mulut dipandang lama. Sudah hampir tiga bulan dia tidak berjumpa dengan abahnya. Kerjaya sebagai jurutera pelantar minyak benar-benar menghadkan waktu bersama.
                “Lusa. Kebetulan je abah ada kerja kat HQ sini. Dua minggu lagi baru abah cuti dalam sepuluh hari,”jelas Encik Azrai.
                “Ala…cepatnya! Adik belum puas lagi duduk dengan abah…”gumam Arianna. Dari dulu lagi dia memang tidak suka dengan jadual kerja abahnya. Lebih banyak masa dihabiskan di tempat kerja berbanding di rumah. Berjumpa juga jarang sekali.
                Encik Azrai dan Puan Ainon tersenyum dengan gelagat Arianna yang manja. Biarpun umur Arianna sudahpun mencecah 16 tahun, anak bongsu itu memang manja dengan semua orang.
                “Nanti bila abah dapat pindah ke Kuala Lumpur kita dapat bersama lagi…”pujuk Encik Azrai.
                Bercahaya anak mata Arianna mendengar bicara Encik Azrai. “Betul ke abah?”. Senyuman lebar terukir di wajah Arianna. Anggukan Encik Azrai menggembirakan lagi Arianna. Arianna bertepuk tangan.
                “Yeah…!!!”
                Arissa yang mendengar suara Arianna menjerit kesukaan berpaling. Arianna sudah pun berlari menuju ke arahnya. Berkerut dahi Arissa melihat perangai adiknya itu. Arianna membisikkan sesuatu kepada Arissa. Wajah Arissa mempamerkan riak terkejut. Tidak percaya dengan apa baru adiknya sampaikan. Arianna menganggukkan kepalanya beberapa kali, meyakinkan lagi Arissa. Perlahan-lahan terukir senyuman di bibir Arissa. Mereka berdua berpegangan tangan dan melompat-lompat kegembiraan di tepi pantai. Ibubapa mereka ketawa senang melihat telatah cahaya mata mereka.
                Usai sahaja bersukaria di pantai Port Dickson itu, mereka sekeluarga bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Destinasi seterusnya adalah UIA Gombak, untuk menghantar Arissa kembali ke asrama. Esok kuliah Arissa sudah bermula. Arissa agak terkilan kerana dia baru sekejap berjumpa dengan abah dan bermanja dengannya. Selepas ini, dia terpaksa menunggu hampir sebulan baru dapat bertemu kembali. Apatah lagi selepas ini dia akan mulai sibuk dengan mid term.
                Arissa mencium tangan abah dan ibunya. Puan Ainon memeluk erat anak perempuannya. Rasa sebak mula bermukim. Entah mengapa terasa berat pula untuk berpisah. Sebaik pelukan dileraikan, Arianna bersalam dengan Arissa. Belum sempat Arianna mengucup tangan Arissa, Arissa terlebih dahulu menarik Arianna ke dalam pelukan. Arianna tergamam seketika sebelum membalas erat.
                “Jaga umi dan abah bila along tak ada…”pesan Arissa. Ditepuk perlahan bahu Arianna.
                Arianna senyum. “Okay, along jangan risau!”
                “Ingat, jangan nakal-nakal. Belajar rajin-rajin, tahun depan adik nak SPM. Jangan asyik main je. Kalau tak buat apa-apa tolong ibu buat kerja rumah…”sambung Arissa. Dipandang tepat ke wajah Arianna. Tiba-tiba hati Arissa dipagut rasa sayu. Entah mengapa Arissa dapat merasakan perpisahan kali ini lebih lama.
                “Ala, along ni! Asyik membebel je…macam orang tua! Tu yang tak ada orang nak ngorat!”omel Arianna.
                Arissa menjegil matanya. Ibubapa mereka tertawa kecil. Arissa memandang pula ke arah ibunya. “Ibu jaga kesihatan ya. Bila along tak ada jangan pula buat kerja yang berat-berat. Minta tolong adik je. Nanti tekanan darah ibu naik lagi..”
                “Iye…ibu tahu. Anak ibu ni macam doktor pulak…”usik Puan Ainon.
                Arissa tersenyum. “Abah hati-hati kat tempat kerja ek?”
                Encik Azrai mengangguk. “Yelah, along pun belajar elok-elok. Jangan lupa solat..”
                “Baik abah. Lepas ni dah tak boleh jumpa abah. Rasa rindu pulak kat abah,”luah Arissa perlahan. Ada getaran di hujung suara.
                Encik Azrai pelik mendengar kata-kata Arissa. “Kenapa pulak along cakap macam tu? Lagi dua minggu abah balik sini lagi. Masa tu along pun dah nak habis exam kan?”
                Arissa mengeluh perlahan. Entah mengapa jauh di sudut hati Arissa terselit rasa sayu. Apakah masih ada kesempatan untuk bertemu. Sebelum beredar, Arissa memaut lengan Arianna. Wajah Arianna yang agak terkejut dipandang lama. “Ingat, jaga ibu dan abah bila along tak ada!”ulang Arissa sekali lagi. tidak mahu Arianna mengambil lewa pesanannya.
                “Adik tahulah along! Okaylah, bye-bye. See you next week!”
                
Arissa melambai-lambai ke arah kereta Waja milik abahnya yang bergerak dan semakin menjauh. Biarpun kelibat kereta sudah hilang di sebalik bangunan namun Arissa masih tercegat di situ. Arissa masih berharap dia dapat menatap wajah-wajah ahli keluarganya. Arissa hanya tersedar apabila teman sebiliknya Naimah datang menegur. Arissa sekadar tersenyum sebelum mengikuti Naimah naik ke bilik. Untuk kesekian kalinya Arissa menoleh ke belakang, memandang ke arah jalan raya.Abah..Ibu..Adik…Along rindu!

***********************************

Arianna menatap kalendar yang tergantung di dinding. 20 Julai 2000. Hari ini adalah harijadi kakaknya yang ke-20.  Hari ini juga ahli keluarganya merancang untuk mengadakan majlis harijadi untuk Arissa yang akan pulang dari asrama. Kebetulan pula abah mereka bercuti pada minggu itu. Sememangnya ini adalah harijadi yang meriah biarpun hanya disambut oleh mereka berempat.
                Puan Ainon telah pun membeli kek Tiramisu kegemaran Arissa pagi tadi di Secret Recipe dan menyediakan masakan spaghetti meatball untuk di makan bersama nanti. Abah pula keluar membeli makanan ringan di pasaraya berhampiran dengan rumah mereka. Arianna pula bertanggungjawab menghias kawasan ruang tamu dengan belon.
                Sedang asyik meniup belon untuk digantung, telefon rumah berdering. Sepantas kilat Arianna menjawab panggilan. Kedengaran suara Arissa di corong telefon.
                “Along! Lambat lagi ke? Kita orang dah prepare ni!”kata Arianna bersungguh-sungguh.
                Arissa ketawa. “Along dah on the way ni. Tapi kawan along singgah beli barang kejap. Nanti dalam 20 minit along sampai…”
                “Kawan? Kawan mana? Kak Imah ke?”tanya Arianna. Meneka mungkin Arissa membawa pulang Naimah bersama.
                “Err…adalah…”balas Arissa, cuba berahsia.
                “Lelaki eh…..”duga Arianna, cuba mengusik.
                Suara Arissa ketawa kecil jelas di pendengaran Arianna. Arianna tahu seandainya Arissa tidak membalas kata-katanya bermakna tekaannya adalah benar. “Siapa along? Bagitahulah!!”desak Arianna tidak sabar.
                “Ish adik ni! Nantilah, dah sampai rumah baru adik tahu, okay?”
                Arianna mencebik bibir. Sehingga talian diputuskan Arissa masih berahsia tentang tetamu misteri yang turut diundang ke majlis harijadinya. Kakaknya itu memang suka berteka teki- Lebih-lebih lagi Arissa tahu Arianna bukanlah seorang yang penyabar. Sengaja dia menyakat adik kesayangannya itu. Lucu melihat muncung panjang Arianna apabila merajuk.
                “Siapa tu dik?”tanya Puan Ainon yang baru sahaja keluar dari dapur.
                Arianna berpaling. “Along, dia kata dah on the way. Along bawak kawan ibu. Mesti boyfriend!”
                “Betul ke?”tanya Puan Ainon, kali ini nadanya kedengaran gembira.
                “Entahlah. Along tu kan suka bagi surprise. Nanti kita tengoklah ibu, siapa tetamu misteri tu!”
                Jam sudah menginjak ke angka 6 petang, namun Arissa masih belum tiba di rumah. Sewaktu dia menelefon, katanya hanya mengambil masa 20 minit. Tetapi sekarang sudah hampir dua jam. Kedua ibubapa Arissa mula resah menunggu di ruang tamu. Arianna pula sedari tadi mendail nombor Arissa namun tiada jawapan. Arianna tiba-tiba merasa tidak sedap hati.
                “Dapat?”tanya Encik Azrai apabila Arianna meletakkan gagang telefon.
                Arianna menggeleng. Kerisauan jelas merajai semua orang yang berada di ruang tamu. Puan Ainon mula bergenang airmata. Dia benar-benar bimbangkan keselamatan Arissa.
                “Kita report polis bang?”usul Puan Ainon.
                “Belum 24jam lagi Ain…lagipun mungkin traffic jam. Kan dia datang dengan kawan dia. Tak ada apa-apalah,”pujuk Encik Azrai. Bahu isterinya dipaut. Cuba meredakan kerunsingan yang bermain di minda Puan Ainon.
                “Saya risau bang. Rasa tak sedap hati je..Macam mana kalau apa-apa terjadi pada Arissa?”luah Puan Ainon.
                “Jangan fikir yang bukan-bukan Ain. Itu cuma mainan perasaan saja. She’s going to be okay!”sangkal Encik Azrai. Tidak mahu isterinya berfikiran negatif tatkala mereka semua sedang risaukan keadaan Arissa.
                “Biar adik try call lagi sekali!”kata Arianna. Sengaja dia mencuba mendial nombor kakaknya. Arianna mahu menyejukkan hati Puan Ainon.
                Loceng pintu berbunyi. Kedengaran suara orang memberi salam. Arissa! Mereka bertiga menuju ke muka pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka, mereka terkejut melihat dua orang lelaki yang berpakaian polis. Dada masing-masing semakin berdebar. Moga-moga bukan berita buruk!
                “Ini rumah Arissa Sofea Binti Azrai?”tanya salah seorang pegawai polis tersebut.
                “Ya, saya ayahnya. Kenapa Tuan?”
                “Encik Azrai? Saya Inspektor Mokhtar. Ini Detektif Khalid…”
                Encik Azrai menyalami kedua-dua pegawai polis di hadapannya. Kedua-dua pegawai polis itu kelihatan serba salah untuk memberitahu tujuan mereka ke situ. Tidak terlintas untuk menyampaikan sesuatu yang menyedihkan, tetapi itu adalah kewajipan mereka sebagai anggota polis. Tidak kira siapa dan masa, mengetepikan segala gelodak perasaan, tugas perlu diutamakan.
                “Maafkan saya Encik Azrai. Sebentar tadi anggota kami menjumpai mayat anak encik di sebuah belukar di Semarak. Harap encik dapat ke Hospital Kuala Lumpur untuk membuat pengecaman….”
                Encik Azrai tergamam. Puan Ainon terus pengsan namun suaminya sempat memaut sebelum tubuhnya menyembah lantai. Arianna kaku di belakang ibubapanya. Mayat? Hospital? Tiap bait kata yang didengar ibarat bumi terbelah dua. Arianna seperti terkena renjatan elektrik. Arianna berharap apa yang didengarnya adalah satu mimpi ngeri dan Arianna mahu lekas-lekas tersedar dari mimpi itu.
Bukan mudah untuk menerima orang yang tersayang pergi begitu sahaja. Biarpun terasa seperti satu mimpi ngeri namun itulah yang benar-benar berlaku. Sehingga mereka bertiga memijak kawasan hospital, mereka masih tidak mahu mempercayai bahawa Arissa telah tiada. Ketika mata tertancap pada perkataan ‘Bilik Mayat’, mereka masih menidakkan apa yang telah terjadi. Inspektor Mokhtar menghampiri Encik Azrai dan menyuruhnya masuk ke bilik mayat tersebut. Arianna dan Puan Ainon membontoti dari belakang dengan langkah yang lemah. Di dalam hati Arianna berharap apa yang berlaku tidak benar.
                Kedinginan pendingin hawa di dalam bilik mayat itu dapat dirasai hingga ke tulang sumsum. Tatkala menghampiri sebuah troli Arianna berdebar-debar. Terdapat satu jasad kaku terbaring diselimuti kain putih. Puan Ainon memegang erat tangan suaminya. Sebaik sahaja doktor menyingkap selimut putih itu, Puan Ainon sekali lagi pengsan. Encik Azrai tergamam. Tubuh isterinya dipaut daripada tersembam ke lantai. Airmatanya menitis. Arianna pula kaku di tempatnya. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
                “Bukan…bukan…bukan….”suara Arianna separuh berbisik. Kepalanya digelengkan berulang kali. Airmatanya mula merembes keluar, ibarat empangan yang pecah.
                Encik Azrai menoleh ke arah Arianna yang sudah tidak tentu arah. “Along, dik…along…” Encik Azrai tidak dapat meneruskan kata-katanya. Kesedihan merajai hatinya. Melihat jenazah anaknya yang kaku di pembaringan membuatkan Encik Azrai tidak mampu menahan perasaan. Apatah lagi jasad Arissa yang penuh dengan kesan lebam dan luka di hampir keseluruhan tubuhnya.
                “Along!!!”tempik Arianna. Diterpa ke arah Arissa yang kaku. Dipeluk tubuh yang tidak bernyawa itu. Arianna mengongoi kesedihan sambil berulang kali memanggil kakaknya. Namun Arissa tidak mungkin akan menyahut. Arissa tidak bergurau mahupun mengusiknya. Arissa benar-benar telah mati.
                “Encik Azrai…”
                Encik Azrai berpaling ke arah pegawai polis yang turut bermuram menyaksikan kesedihan yang melanda keluarganya.
                “Sekali lagi saya ucapkan takziah…”ucap pegawai polis yang bernama Mokhtar itu. Encik Azrai sekadar membalas dengan anggukan yang perlahan.
                “Maafkan saya Encik Azrai. Mungkin ini bukanlah masa yang sesuai tapi saya cuma menjalankan kewajipan saya sebagai pegawai polis. Menurut laporan bedah siasat, sebelum anak encik dibunuh, ada tanda-tanda anak encik dirogol…”
                Encik Azrai terkejut. Dia memandang Mokhtar seakan tidak percaya. Arianna turut tersentak. Puan Ainon yang masih mamai turut terkejut. Rogol?
                “Semasa kami menemui mayat Arissa, dia hampir separuh bogel. Menurut laporan memang ada kesan koyakan di kemaluannya. Kami syak, pembunuh mungkin membunuh mangsa untuk menutup kesalahan rogolnya…”jelas Mokhtar.
                “Siapa? Siapa yang sanggup buat ni semua Tuan?”soal Encik Azrai sedih.

2 comments: