Tuesday, April 12, 2011

Mengapa Harus Cinta - Prolog





Pada ketika ditetapkan di dalam hati hanya dendam buat lelaki bernama Ammar Afi, Arianna Sofea tidak pernah menyangka dia akan jatuh ke dalam perangkapnya sendiri. Dalam benci ada cinta. Dalam cinta ada kelukaan. Mengapa harus cinta tatkala dalam hati sudah tekad membenci? Mengapa dendam yang tersemat sekian lama kian terasing dalam hati? Mengapa cinta datang mengetuk pintu hati?

FEBRUARI 2008
Arianna mengacukan sepucuk pistol tepat ke muka Ammar Afi. Tangannya menggigil sambil memegang kemas pistol tersebut dengan kedua-dua belah tangannya. Ini adalah kali pertama dia memegang senjata itu. Rasa takut jelas menguasainya. Sepanjang hidupnya selama ini, Arianna tidak pernah terfikir suatu hari dia akan menggunakan juga pistol peninggalan arwah ayahnya itu.
                Arianna tidaklah mahir dalam menggunakan senjata merbahaya itu. Namun Arianna sedar sekali picu ditarik pastinya senjata itu akan memuntahkan pelurunya tepat ke arah Ammar Afi. Ke bahagian mana peluru itu akan terbenam Arianna tidak mahu ambil peduli. Apa yang penting bagi Arianna adalah melunaskan dendam yang sekian lama menjadi duri di dalam hidupnya.
                Ammar Afi yang terikat di kerusi masih tidak mengerti mengapa Arianna memperlakukan dirinya sedemikian. Rasa takut dan cemas bercampur menjadi satu, berlegar-legar di segenap penjuru mindanya. Persoalan demi persoalan timbul di benak fikiran. Kenapa dan mengapa Arianna bertindak sedrastik ini. Wajah tegang Arianna yang masih memegang pistol ke arahnya dipandang. Kelihatan peluh yang mula memercik di dahi Arianna. Apakah wanita itu juga menyimpan perasaan takut?
                “Apa yang you nak buat ni Ari?”soal Ammar Afi berani.
                Arianna sedikit kaget mendengar pertanyaan Ammar Afi namun dia sudah bersedia. Pastinya lelaki itu tertanya-tanya motifnya yang sebenar. Apatah lagi selama ini Arianna tidak pernah menunjukkan sebarang perilaku yang menimbulkan kecurigaan. Arianna mengambil langkah yang sangat berhati-hati. Arianna bangga sehingga ke hari ini Ammar Afi tidak dapat menghidu niat jahatnya mendekati lelaki itu. Lakonannya yang mantap dapat memerangkap Ammar Afi yang buta dalam mainan cintanya.
                Arianna membongkokkan badannya, menghadap Ammar Afi yang terikat. Wajahnya setara dengan wajah Ammar Afi. Pistol di tangan dimain-mainkan ke pipi Ammar Afi. Ternyata Ammar Afi kelihatan gentar dengan perbuatannya. Arianna tersenyum jengkel.
                “Kau nak tahu apa yang aku nak buat? Betul ke kau nak tahu Ammar Afi?”soal Arianna pula. Sengaja bermain dengan perasaan Ammar Afi.
                Ammar Afi terkejut mendengar bicara Arianna yang kasar. Selama mengenali wanita itu tidak pernah Arianna berkelakuan kasar dan menakutkan seperti apa yang ditunjukkan di hadapannya kini. “Apa salah I Ari?”
                Mencerlang mata Arianna memandang Ammar Afi, menggambarkan perasaan marahnya sebaik sahaja pertanyaan itu diutarakan oleh Ammar Afi. Giginya diketap kuat cuba untuk meminimumkan perasaannya agar tidak meletus.               
“Kau nak tahu apa salah kau? Kau nak tahu apa yang kau dah buat?!!”tempik Arianna. Bergema suara Arianna di dalam rumah itu. Terangkat bahu Ammar Afi mendengar suara Arianna yang kuat. Terkejut melihat wajah berang Arianna. Satu sisi yang belum pernah Ammar Afi nampak malah tidak pernah terfikir Arianna sebegitu.
                Pandangan tajam Arianna terus menikam wajah Ammar Afi yang masih tergamam dengan perbuatannya sebentar tadi. Arianna merengus kasar lalu mengatur langkah menuju ke tingkap yang terbuka luas. Di sebalik jendela, pokok-pokok rendang memenuhi kawasan rumah tersebut. Rumah itu terletak agak jauh daripada rumah-rumah lain yang terdapat di kawasan tersebut. Disebabkan itu Arianna tidak risau tentang orang-orang kampung yang mungkin melalui rumah tersebut. Apatah lagi rumah tersebut sudah lama ditinggalkan maka orang kampung tidak berani ke situ. Takut hantu barangkali! Getus Arianna.
                Lontaran soalan Ammar Afi berpusing-pusing di mindanya. Sejauh matanya memandang ke luar jendela, sejauh itu jugalah fikirannya menerawang ke kisah silam. Cerita yang tersimpan rapi dilipatan hidupnya yang menjadikan Arianna seorang pendendam. Kisah yang telah membawa dirinya hingga ke rumah usang itu.


****actually citer ni da hampir nak habis da aku wat so aku decide utk post dlm blog...aku ni jenis yg ada idea baru tulis xkira la scene/bab tu yg tgh ke last ke..so nnti aku gabung..setakat ni citer ni dh 70% siap la sbb aku da ada klimaks dia n ending dia skali..cuma tunggu idea utk gabunngkan ke semuanya..So probably akan up 2bab every week...hopefully kawan2 akan enjoy..aku pun bukanlah terer pun menulis, just nak isi masa lapang saja ^_^

No comments:

Post a Comment