Arianna menyorong basikalnya ke dalam kawasan rumah. Beg sekolah di dalam raga basikal di ambil. Beratnya! Omel Arianna di dalam hati. Mahu sahaja dia meninggalkan separuh daripada buku teksnya di dalam laci meja di sekolah, namun arahan Pengetua yang tidak membenarkan pelajar meninggalkan buku teks diterima dengan berat hati oleh Arianna dan semua pelajar. Semenjak kes berlakunya kehilangan buku teks yang ditinggalkan di laci meja, Pengetua mengambil tindakan seperti itu.
Sebaik masuk sahaja ke dalam rumah mata Arianna melilau mencari sesusuk tubuh milik ibunya. Dihempaskan beg sekolah di sofa sebelum melangkah ke dapur. Kelihatan ibunya sedang asyik mengacau sesuatu di dalam periuk. Arianna mengetap bibir, cuba untuk tidak mengeluarkan suara. Kakinya terjengket-jengket merapati ibunya daripada belakang. Baru sahaja dia ingin mencuit bahu ibunya untuk mengusik, terlebih dahulu dia disergah oleh seseorang.
“Hah…buat apa tu??”
Arianna melompat terkejut. Puan Ainon mengurut dadanya. Reaksinya tidaklah sebesar Arianna. Arianna mencekak pinggangnya, memandang ke arah Arissa dengan wajah masam tanda protes terhadap perbuatan kakaknya. Arissa ketawa sambil memegang perutnya yang mula senak akibat ketawa.
“Kenapa dengan along ni? Buat terkejut ibu jelah…”tegur Puan Ainon.
Arissa tersengih. Tanpa suara dia menyebut perkataan ‘sorry’ pada ibunya. Puan Ainon sekadar menggeleng kepala. Arissa memang selalu begitu.
“Eii…along ni kan! Nasib baik la adik tak ada heart attack tadi! Tiba-tiba je sergah orang macam tu!”marah Arianna. Dadanya masih berdebar-debar akibat terkejut disergah alongnya tadi.
Arissa mencemik. “Eleh, terkejut konon. Kalau ibu nak tahu, tadi adik nak usik ibu, konon-konon nak buat ibu terkejutlah, tapi along dulu yang buat dia terkejut. Tu yang dia marah sangat! Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,”beritahu Arissa.
“Eh, mana ada! Jangan nak main tuduh-tuduh okay?!”dalih Arianna.
“Tuduh apa pulak? Kalau tak kenapa masa masuk rumah tadi tak bagi salam?Hah, kenapa?”
Arianna menjelir lidah ke arah Arissa. Tidak berpuas hati kerana kakaknya dapat menghidu rancangan jahatnya.
“Mengakulah tu!”usik Arissa lagi.
“Ibu tengok along ni!”adu Arianna sambil memaut lengan Puan Ainon manja. Puan Ainon sekadar tersenyum. Arissa dan Arianna memang sering bertelagah namun dia tahu kedua adik beradik itu memang gemar bergurau sebegitu.
“Mengada! Dia kalau dah buat salah memang macam tu. Ibu jangan layan sangat adik tu! Dah besar pun nak manja-manja. Tak malu.” Arissa masih belum puas menyakat Arianna. Peluang sebegitu memang jarang diperolehi semenjak dia menyambung pelajaran di universiti. Sesekali mengusik Arianna yang manja terubat rasa rindu pada saat-saat manis ketika bersama keluarga.
“Sudahlah kamu berdua. Asyik bergaduh saja. Hah, adik! Pergi salin baju sekolah. Bau peluh adik tu dah melekat kat baju ibu tau tak?”ujar Puan Ainon.
Arianna tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Arianna mencium pipi Puan Ainon sebelum beredar menuju ke biliknya. Sebaik menghampiri Arissa yang duduk di meja makan, Arianna yang nakal menarik tocang Arissa dan terus berlari.
“Ouch….adik…!!!”jerit Arissa. Kedengaran suara Arianna ketawa di tingkat atas. Arissa merengus perlahan. Geram pula apabila tidak dapat membalas perbuatan nakal adiknya itu. Puan Ainon menggeleng beberapa kali. Macam-macam!
Arissa mendandan rambut panjang milik Arianna dengan rapi. Rambut Arianna yang lurus dan hitam itu kelihatan cantik. Arissa juga mengimpikan rambutnya sebegitu. Rambutnya juga panjang seperti Arianna tetapi sedikit berombak. Mungkin juga Arianna mengikut genetik ibunya yang berambut ikal mayang, manakala Arianna menyerupai abah.
“Along ada boyfriend?”laju Arianna bertanya sambil mengunyah kacang yang dibeli Arissa.
Terhenti seketika tangan Arissa yang sedang menyisir rambut Arianna. Arissa mengerling ke arah ibunya yang kelihatan turut berminat untuk mendengar jawapannya. “Kenapa adik tanya?”
“Mana tau kot-kot ada mamat Negro minat dekat along. Kat UIA kan ramai pelajar asing…”usul Arianna seraya bergurau.
Sebaik mendengar kata-kata Arianna, Arissa dengan pantas menyekeh kepala adiknya itu. Arianna mengaduh kesakitan. “Sakitlah along!”rungut Arianna sambil menggosok kepalanya. Puan Ainon ketawa kecil.
“Tak ada maknanya! Along kat sana nak belajar, nak dapatkan degree bukan nak bercinta!”sangkal Arissa.
Sememangnya itulah matlamat utamanya. Arissa ingin merubah nasib keluarganya. Apabila dia menggenggam segulung ijazah nanti, Arissa mahu membantu keluarga. Arissa tidak mahu abah dan ibu bekerja. Apatah lagi kerjaya abah sebagai jurutera pelantar minyak telah membataskan waktunya bersama keluarga. Tiga bulan sekali barulah mereka dapat berjumpa dengan abah.
Mungkin ibu sudah biasa sebegitu, tetapi Arissa mahu mengubah rutin keluarga mereka. Biarlah dia pula yang bekerja sementara abah dan ibu menghabiskan masa bersama-sama. Inilah masanya untuk Arissa berbakti kepada abah dan ibu yang telah menjaga dan mendidiknya selama ini.
“Ala…along kan boleh buat double-degree…”
Suara Arianna memberi cadangan mematikan lamunan Arissa. “Double degree?”
“Yelah…satu tu degree dalam bisness admin, satu lagi degree dalam perkahwinan!”
“Adik ni!”
Arianna ketawa, begitu juga Puan Ainon dan Arissa. Arianna memang suka bergurau. Keceriaan Arianna di dalam rumah itu yang menjadikan suasana lebih gamat.
“Yang kedua tu tunggu lepas along habis belajar!”tegas Arissa.
“Takkan sorang pun tak ada along?”tanya Arianna lagi.
Arissa menggeleng perlahan. Arianna akan terus mendesak selagi tidak memperolehi jawapan. Arissa tidak tahu sama ada itu adalah kelebihan Arianna atau kekurangannya. Dalam mencari jawapan kepada pertanyaan Arianna, Arissa teringat sesuatu. Sejak akhir-akhir ini memang ada perkara yang mengganggunya.
“Tak tahulah nak kata ada atau tak ada,”keluh Arissa perlahan.
Puan Ainon memandang wajah keruh Arissa. “Kenapa long? Ada masalah ke?”soal Puan Ainon prihatin. Bimbang seandainya Arissa mempunyai masalah di universiti. Arianna turut memusingkan badannya menghadap Arissa yang duduk di sofa. Memasang telinga untuk mendengar cerita Arissa.
“Kat u along tu adalah tiga orang lelaki ni suka kacau along. Rimas juga kadang-kadang. Kalau nak berkawan tu along memang tak kisah bu, tapi diaorang ni macam ada niat jahat. Tu yang along rasa tak selesa. Lagipun ada senior along bagitahu yang mereka bertiga tu memang ada masalah disiplin sikit. Dia pun tak galakkan along berkawan dengan budak-budak tu,”cerita Arissa.
“Kalau macam tu along kena elakkan diri daripada berkawan dengan budak-budak macam tu. Kena hati-hati juga. Jangan pula sampai buat orang marah,”nasihat Puan Ainon, disambut dengan anggukan oleh Arissa. Dia tahu Puan Ainon bimbang kerana Arissa berjauhan dengan keluarga. Arissa perlu berdikari dan menjaga diri sendiri. Kerisauan Puan Ainon, Arissa anggap sebagai satu tanda kasih sayang seorang ibu.
No comments:
Post a Comment