Sunday, September 26, 2010

Noktah Cinta - Bab 3

BAB 3

Indah Zuryna memerhatikan cenderahati yang tersusun rapi di atas rak satu persatu. Bau harum yang menusuk ke hidungnya seakan-akan menenangkan jiwanya. Disebabkan itulah Indah Zuryna gemar ke kedai Lovely Lace. Haruman yang memenuhi ruang kedai tersebut menggamit setiap mengunjung yang melalui kedai tersebut untuk singgah.Indah Zuryna cuba mencari hadiah yang sesuai untuk Azalea sempena harijadinya yang ke 26 Jumaat ini. Ada banyak anak-anak patung beruang dari yang bersaiz kecil hingga sebesar manusia menjadi tatapan Indah Zuryna.

Namun bukan itu yang dicari olehnya kerana Azalea bukanlah seperti wanita-wanita lain yang menggilakan ‘teddy bear’. Bagi Azalea itu mencerminkan jiwa keanak-anakkan sedangkan personaliti Azalea yang serius bertentangan dengan semua itu. Mengingatkan sikap Azalea, Indah Zuryna tersenyum sendirian. Terdetik juga rasa hairan mengapa Azalea tidak menyukai anak patung namun persoalan itu dibiarkan tanpa jawapan.

Tiada apa yang sesuai untuk diberikan sebgai hadiah kepada Azalea yang dapat dicari oleh Indah Zuryna di dalam kedai Lovely Lace tersebut. Indah Zuryna melangkah keluar sambil menghadiahkan senyuman kepada pekerja di situ yang turut dibalas mesra. Indah Zuryna jadi senang dengan sikap pekerja itu, melayan setiap pelanggan dengan mesra biarpun tiada barangan yang dibeli. Budi bahasa budaya kita! Bergema irama lagu tersebut di dalam hatinya membuatkan Indah Zuryna tertawa sendirian.

Indah Zuryna berjalan-jalan memerhati setiap kedai yang berada di dalam kompleks Alpha Angle Wangsa Maju itu, cuba mencari seandainya terdapat barang yang sesuai untuk dijadikan hadiah kepada Azalea. Tidak mengapa seandainya dia tidak menjumpainya di situ kerana dia masih punya banyak waktu untuk mencari di pusat beli belah yang lain. Tidak salah seandainya dia berjalan-jalan membuang waktu di situ. Fikir Indah Zuryna. Sesekali dia juga perlukan ruang untuk diri sendiri!

Indah Zuryna berhenti di satu kedai di pintu masuk ke Jaya Jusco. Bibirnya menguntum senyuman membaca papan tanda Speedy Video. Indah Zuryna segera masuk, niat di hatinya ingin mencari vcd pelakon kegemarannya Johnny Depp. Semenjak dia di bangku sekolah lagi Indah Zuryna amat meminati lakonan Johnny Depp. Setiap filem pelakon Hollywood itu ditonton tanpa rasa jemu. Dia mempunyai hampir kesemua koleksi filem-filem Johnny Depp untuk tontonannya di kala kebosanan.

Indah Zuryna memerhatikan satu persatu vcd yang dipamerkan di ruang yang bertanda English Movie. Dia cuba mencari cerita lakonan Johnny Depp yang masih belum dijadikan koleksi peribadinya. Mata Indah Zuryna membulat apabila melihat vcd yang betajuk Edward The Scissorhand. Bibirnya menguntum senyuman lebar. Sudah lama dia mencari filem tersebut untuk ditonton sekali lagi. Indah Zuryna merasa teruja.

Baru sahaja Indah Zuryna ingin mencapai vcd tersebut tiba-tiba sahaja ada seseorang telah mengambilnya terlebih dahulu. Indah Zuryna yang terkejut pantas menoleh ke arah lelaki yang berdiri di sisinya dengan vcd Edward the Scissorhand di tangannya. Indah Zuryna merasa sebal tiba-tiba.

“Excuse me, but I want that cd,”kata Indah Zuryna apabila lelaki itu mula beredar menuju ke kaunter bayaran.

Rifqi berhenti melangkah. Keningnya berkerut sambil melihat ke arah vcd yang dipegannya sekilas lalu menoleh ke arah Indah Zuryna. Meminta kepastian apakah vcd itu yang dimaksudkan oleh Indah Zuryna.

“Yes that movie! I saw it first and about to take it when you did it before me,”jelas Indah Zuryna.
Rifqi menjungkit bahu. “Sorry, tapi saya ambil dulu lagipun cerita ni penting untuk saya. You boleh ambil yang lain kan?”

Rifqi melangkah ke kaunter bayaran. Indah Zuryna geram dengan sikap lelaki itu namun dibiarkan dan mula mencari vcd yang sama di rak tersebut. Tiada! Indah Zuryna ke kaunter di mana Rifqi berdiri bersedia untuk membayar harga vcd tersebut.

“Do you still have Edward the Scissorhand? I can’t find at the rack,”ujar Indah Zuryna. Pekerja lelaki berbangsa Cina itu menggeleng dan memberitahu vcd yang diambil Rifqi adalah stok yang terakhir. Tambahan pula cerita itu juga sudah lama maka agak susah untuk memesannya. Biarpun Indah Zuryna meminta agar pekerja tersebut cuba mencari vcd tersebut, lelaki itu tidak berani menjamin cerita yang diingini Indah Zuryna boleh didapati dalam masa yang terdekat.

Indah Zuryna melangkah keluar dari Speedy Video dengan perasaan yang agak kecewa. Sudah lama dia mencari cerita tersebut akhirnya apabila bertemu dirampas pula oleh orang lain. Geram betul! Indah Zuryna mengomel-ngomel di dalam hati tentang sikap lelaki tadi yang tidak mahu beralah dengannya. Apa salahnya jika vcd itu diberkan kepadannya? Vcd itu juga penting baginya!

“Excuse me…”

Indah Zuryna menoleh ke belakang. Lelaki yang sama di kedai Speedy Video sedang berdiri dengan senyuman di bibirnya. Senyuman yang membuatkan Indah Zuryna teringat pada seseorang. Macam pernah jumpa! Satu bungkusan plastik berwarna biru dengan tanda nama Speedy Video dihulurkan ke arah Indah Zuryna. Indah Zuryna sedikit pelik namun tangannya tetap menyambut huluran lelaki asing itu. Mata Indah Zuryna membulat saat melihat isi di dalam plastik itu adalah vcd yang sama yyang ingin dibelinya sebentar tadi.

“Err cd ni…?” kata-kata Indah Zuryna mati di situ apabila menyedari lelaki tadi sudah pun beredar. Indah Zuryna melilau mencari kelibat lelaki itu. Indah Zuryna menuju ke kedai buku MPH Bookstore apabila melihat lelaki itu masuk ke dalamnya. Indah Zuryna mencari di setiap rak buku yang tersusun namun hampa. Cepatnya hilang!
Indah Zuryna agak serba salah untuk mendekati lelaki itu apabila menyedari lelaki itu berada di bahagian undang-undang yang sedang membelakanginya sambil membelek buku di tangannya. Indah Zuryna tidak tahu apakah patut dia menegur lelaki itu atau tidak. Kecelaruan yang bermain di dalam dirinya tidak dapat menandingi keinginannya untuk mengetahui sebab di sebalik pemberian vcd tersebut kepadanya sedangkan lelaki itu sendiri memberitahunya bahawa vcd itu juga penting baginya.

Rifqi memusingkan badannya dan merempuh tubuh Indah Zuryna yang berdiri kaku sedari tadi. Rifqi terkejut sehinggakan buku di tangannya terjatuh. Rifqi tidak sedar Indah Zuryna berada di belakangnya apatah lagi suara juga tidak kedengaran. Ketika dia membongkokkan badannya untuk mengambil buku yang terjatuh Indah Zuryna turut melakukan hal yang sama. Indah Zuryna menghulurkan buku yang bertajuk Malaysia’s Constitution tulisan Dr. Aziz Bari kepada Rifqi. Rifqi tersenyum sambil mengucapkan terima kasih.

Rifqi baru sahaja ingin beredar tatkala Indah Zuryna memanggilnya. Wajah Indah Zuryna dipandang. Kelihatannya Indah Zuryna serba salah.

“Err…actually this cd…?” Indah Zuryna menunjukkan vcd yang berada di tangannya.
Rifqi senyum. “Oh, tadi saya tengok awak macam nak sangat cerita tu so saya rasa mungkin awak lebih perlukannya,”jelasnya.
“Hmm…memang betul tapi tadi you pun cakap yang cerita ni penting kan?”
“It’s okay. I can find it anywhere. Cuma kebetulan sahaja saya jumpa kat sini,”kata Rifqi.
Kening Indah Zuryna terangkat. “Tempat lain ada ke? Sebab cerita ni dah lama jadi nak cari pun susah. Pekerja kedai tadi pun cakap macam tu.”
“Tak apa. Saya boleh try cari kat kedai lain. Kalau tak jumpa jugak saya boleh try cari kat dalam internet, try download sendiri. Tak susah pun!”ujar Rifqi cuba menyedapkan hati Indah Zuryna yang serba salah.
“Sure?”
Rifqi mengangguk. Indah Zuryna menarik nafas lega. “By the way berapa harga cd ni?” tanya Indah Zuryna sambil mengeluarkan dompetnya dari dalam beg tangannya.
“Oh no need for that. Saya ikhlas…”tolak Rifqi, tidak mahu menerima duit Indah Zuryna. Sememangnya dia ikhlas memberikan vcd itu kepada Indah Zuryna tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Indah Zuryna terkejut. “Are you sure? Tak eloklah pulak kan? Buat saya segan kalau macam ni,”luah Indah Zuryna.
Rifqi mengangguk. “Ya, saya ikhlas…”
Indah Zuryna mengeluh. “Kalau macam tu saya belanja makan? Boleh?” pelawa Indah Zuryna pula, cuba untuk menghilangkan rasa serba salah di atas kebaikan lelaki itu.
“Eh tak payah susah-susah…saya betul-betul ikhlas.” Rifqi menolak pelawaan Indah Zuryna sekali lagi.
“Please, I do insist that! No more excuses okay?”

Indah Zuryna merayu separuh memaksa. Rasa kurang enak pula seandainys vcd itu diberikan secara percuma biarpun Rifqi sendiri memberitahu akan keikhlasannya berbuat demikian. Rifqi terpaksa bersetuju tidak mahu menolak sekali lagi pelawaan Indah Zuryna yang bersungguh-sungguh. Bimbang seandainya wanita itu terasa hati pula. Berkali-kali diajak namun masih menolak.
“Okay then, what about Starbuck?”usul Indah Zuryna.
Rifqi mengangguk lalu menuruti langkah Indah Zuryna menuju ke Strabuck yang berada di hadapan bangunan Alpha Angle itu.

1 comment: