Monday, September 20, 2010

Noktah Cinta - BAB 1

BAB 1 

Indah Zuryna leka memandang Ferris Wheel yang di namakan Eye on Malaysia yang menyerupai London On Eye. Hatinya melonjak-lonjak untuk menaiki ferris wheel tersebut sambil menikmati pemandangan bandar Kuala Lumpur maka pada petang itu dia menuju ke Tasik Titiwangsa. Namun tatkala dia melihat ramai pengunjung yang berebut-rebut untuk menaiki ferris wheel tersebut Indah Zuryna mematikan niatnya. Ah, salahnya juga kerana datang pada hujung minggu sebegitu yang pastinya ramai pengunjung yang lain untuk bersantai di situ. Akhirnya, Indah Zuryna sekadar menjadi permerhati di tepi tasik tersebut. Itu juga sudah mencukupi untuk memberi ketenangan kepadanya. 

Indah Zuryna memandang sekilas jam yang melekat di pergelangan tangannya. Waktu sudah menginjak hampir ke senja. Pukul 6.10 minit, sudah hampir sejam dia di situ. Terasa masa yang berlalu begitu pantas hingga dia sendiri tidak menyedarinya. Indah Zuryna bangkit daripada bangku dan menuju ke parkir kereta. Langkahnya diatur laju menuju ke Toyota Vios miliknya yang berwarna hitam. Namun sebaik sahaja Indah Zuryna menghampiri keretanya, Indah Zuryna terkejut melihat ada sebuah Mitusbishi jenis Lancer berwarna merah menghadang keretanya. 

Indah Zuryna menjengah ke dalam kereta yang berkunci itu. Tiada pemandu! Mata Indah Zuryna melilau di sekeliling tempat letak kereta seandainya ada seseorang di situ yang mungkin pemandu kereta tersebut namun tiada tanda-tanda bahawa pemandu itu berada di tempat berdekatan. 

“Hish! Apa kena dengan driver nih? Menyusahkan betullah. Dia ni tak pernah ambil lesen ke?”rungut Indah Zuryna sendirian. Mujurlah cuaca di tepi tasik ketika itu agak redup dan angin bertiup perlahan, kalau tidak pastinya dia sudah berpeluh-peluh di situ. 

Deringan telefon bimbit Indah Zuryna membuatkan Indah Zuryna sedikit terkejut. Nama yang terpampang dipandang sekilas dengan perasaan yang berbaur. Kedengaran suara Tengku Farawahida di corong telefon. 

“Kenapa Wawa?”soal Indah Zuryna. 
“Along kat mana ni? Mama masuk hospital, blood pressure!”beritahu Tengku Farawahida cemas. 

Indah Zuryna diam. Nafasnya dihela perlahan. Dia tidak tahu bagaimana untuk bereaksi dengan berita tersebut. Bimbang? Risau? Perasaan tersebut langsung tidak wujud di hatiyna sama sekali. Gembira? Indah Zuryna juga tidak tahu. 

“Hello? Along? Along?” 
“Emm…” 
“Along dengar tak ni? Mama kat Hospital Tawakkal sekarang ni. Papa dengan Angah pun dah ada kat sini. Along datang tak?” 
“Okay, kejap lagi Along sampai.” 

Indah Zuryna mematikan panggilan. Telefon bimbitnya dipandang dengan pelbagai rasa yang bermukim. Pandangannya berkalih pula pada kereta yang masih tegar menghadang keretanya. Indah Zuryna jadi sebal. 

“Kereta ni pun satu hal! Eii, mana tuan dia nih? Geram betullah! Time-time macam nilah dia nak parking kat sini!!” bentak Indah Zuryna geram. Matanya sekali lagi cuba mencari pemandu Mitsubishi Lancer merah namun masih tiada bayang. Indah Zuryna merenung kereta tersebut dengan perasaan geram yang mebuak-buak. Kesabarannya semakin menipis. 

“Lantak kaulah!”getus Indah Zuryna lalu menyepak tayar kereta tersebut sekuat hatinya sehingga penggera keselamatan kereta itu berbunyi dengan nyaring. Indah Zuryna mengambil tempat di belakang keretanya lalu bersandar di bonet sambil memeluk tubuhnya. Penggera yang nyaring langsung tidak memberi kesan padanya. 

Dari kejauhan Indah Zuryna dapat melihat dengan jelas seorang pemuda berlari-lari anak menghampirinya. Wajah pemuda itu berkerut denga nafas yang termengah-mengah. Dia memandang ke arah Indah Zuryna yang tersenyum sinis ke arahnya. Cermin mata yang melurut dinaikkan. 
“Can you?” kata Indah Zuryna sambil menunjuk ke arah kereta milik lelaki tersebut. 
“Oh, I’m sorry. Got to go to the restroom that’s why….” 

Indah Zuryna mengangkat tangan, tanda tidak mahu mendengar sebarang penjelasan daripada pemuda itu. Kening pemuda itu berkerut dengan reaksi dingin Indah Zuryna. 

“Sorry but I’m not interested to hear anything. Can you just please move aside your car? I have no time for this!”tegas Indah Zuryna. 

Pemuda itu mengangguk mengerti dan segera mengalihkan keretanya. Indah Zuryna tersenyum sinis sebelum memecut laju keretanya membuatkan pemuda itu terpinga-pinga dengan sikap sombong Indah Zuryna. Cantik tapi sombong! Desis pemuda itu lalu turut beredar meninggalkan Tasik Titiwangsa tersebut. 

Indah Zuryna menolak pintu wad perlahan. Serentak itu beberapa pasang mata memandangnya dengan pelbagai reaksi. Indah Zuryna mengorak langkah menghampiri katil di mana terbaringnya Tengku Faridah. Wajah mamanya kelihatan pucat dan tidak bermaya. Namun entah mengapa jauh di lubuk hatinya ketika ini tiada langsung rasa sedih mahupun duka. 

“Along ke mana? Pukul berapa ni baru sampai? Rasanya masa Wawa call tadi pun dah pukul berapa kan? Along ni macam tak risau dengan keadaan mama!”bentak Tengku Farish, adik Indah Zuryna. 

Indah Zuryna merenung tajam ke arah adik lelakinya itu. Tidak gemar dengan nada dan intonasi yang digunakan oleh Tengku Farish. Tengku Farawahida yang berdiri di sisinya dikerling sekilas. Riak wajah sedih adik bongsunya itu jelas kelihatan. Indah Zuryna berkalih pula pada papanya Tengku Badrul yang duduk di birai katil. Tengku Badrul membalas pandangan Indah Zuryna dengan lembut. 

“Along kenapa lambat?”tanya Tengku Badrul. Tiada nada marah pada intonasinya membuatkan Indah Zuryna sedikit lega. 
“Sorry papa, masa Wawa call tadi Along memang ada kat Tasik Titiwangsa tapi ada masalah sikit masa on the way ke sini sebab tu Along lambat…”jelas Indah Zuryna tentang perkara yang sebenar. 
“Alasan!”gumam Tengku Farish. 

Sekali lagi Indah Zuryna merenung ke arah Tengku Farish geram. Namun Tengku Farish sekadar membuat tidak tahu. Indah Zuryna sedar selama ini pun Tengku Farish memang tidak menyukainya. Ada sahaja yang tidak kena tentangnya di mata adik lelakinya itu. 

“Jaga mulut Angah tu sikit. Langsung tak hormat Along!”tegur Wahida yang tidak senang dengan sikap Tengku Farish yang sering sahaja berkelakuan biadap terhadap Indah Zuryna. 
“Eh, yang Wawa sibuk sangat ni apahal? Dah memang Along tu selama ni tak pernah ambil tahu pun pasal mama kan? Lagipun Along tu selalu saja sakitkan hati mama! Jadi salah ke Angah cakap macam ni?”bidas Farish geram. 
“Sudahlah tu! Kamu adik beradik pun nak bergaduh. Mama kan tengah sakit ni. Cubalah bawak berbaik-baik sesama kamu tu!”marah Tengku Badrul, berang dengan sikap anak-anaknya yang sering bergaduh tidak mengira tempat dan waktu. 

Tengku Farish dan Tengku Farawahida diam tidak berkutik. Menyedari bahawa di saat mama mereka terlantar di atas katil hospital mereka masih lagi betah bertikam lidah. Indah Zuryna juga diam membisu seribu bahasa, sekadar mendengar amarah papanya ibarat masuk telinga tangan keluar telinga kiri. 

Tengku Badrul tersentak apabila melihat tubuh Tengku Faridah bergerak-gerak. Dengan pantas Tengku Badrul menggenggam erat tangan isterinya. Mata Tengku Faridah sedikit demi sedikit terbuka dan seolah-olah kebingungan apabila menyedari suasana di sekelilingnya terasa begitu asing. Senyuman terukir di bibirnya yang kering dan pucat sebaik sahaja matanya menjamah seraut wajah milik suaminya. Kemudian matanya beralih kepada anak-anaknya yang setia menantinya, Tengku farish dan Tengku Farawahida. Senyuman Tengku Faridah mati di saat matanya tertancap pada wajah Tengku Indah Zuryna. 

Indah Zuryna menyedari perubahan wajah mamanya namun ianya tidak meninggalkan kesan di hatinya. Indah Zuryna sudah terbiasa dengan sikap mamanya itu selama ini. Tiada apa yang tinggal untuk mengecilkan hatinya kini. Alah bisa tegal biasa. 

“Mama okay?”soal Tengku Farish mempamerkan rasa bimbang. 
Tengku Faridah mengangguk. “Mama okay…kamu semua jangan risau.” 
“Macam mana kami tak risau? Tiba-tiba sahaja Ida pengsan. Nasib baik Tuti perasan, kalau tak entah berapa lama Ida kat dalam bilik air tu,”ujar Tengku Badrul. Masih terngiang-ngiang lagi suara cemas Tuti pembantu rumah mereka yang menelefon memberitahu Tengku Faridah pengsan di dalam bilik air. 
Tengku Faridah tersenyum sambil membalas pegangan tangan suaminya, cuba meyakinkan bahawa keadaannya tidaklah seburuk yang disangka. Mungkin dia terlalu letih sejak akhir-akhir ini dengan urusan Persatuan Wanita yang dianggotainya. Sebagai presiden persatuan banyak perkara yang perlu diuruskan olehnya. 

Indah Zuryna mengerling jam di tangannya. Jam sudah menginjak ke pukul 7.35 malam. Waktu Maghrib sudah pun menjelang. Di fikirannya kini adalah kewajipannya sebgai Muslim haruslah diutamakan. 

“Pa, Along keluar kejap nanti Along datang balik,”beritahu Indah Zuryna lalu mencium tangan Tengku Badrul. Tengku Badrul mengangguk. 
“Kalau setakat datang nak tunjuk muka saja kat sini baik tak payah datang!”sindir Tengku Farish yang masih lagi tidak berpuas hati dengan sikap Indah Zuryna. 
“Datang menyakitkan hati saja!”sambung Tengku Faridah pula. 

Indah Zuryna sekadar membisu. Wajah Tengku Faridah langsung tidak dipandang sewaktu dia menyapa Tengku Farawahida sebelum Indah Zuryna keluar. Dari sebalik pintu Indah Zuryna dapat mendengar dengan jelas suara keras Tengku Faridah yang memaki dirinya. Indah Zuryna menarik nafas panjang lalu beredar. Niatnya untuk kembali semula ke wad selepas menunaikan solat Maghrib dibatalkan. Pada fikirannya seusai solat nanti dia akan segera pulang ke rumah.

2 comments:

  1. sambung!!! sambung!!! sambung!!!

    xsabar nih.. hehehee... (^_^)v

    ReplyDelete
  2. hehe...saya bukak page baru khas utk novel Noktah Cinta...Jgn lupa klik & baca ye....

    ReplyDelete