Sunday, October 24, 2010

Noktah Cinta - Bab 6


BAB 6

Tengku Farish memerhatikan gelagat Tengku Faridah yang asyik mengelap barang-barang kemasnya. Setelah usai melakukan itu semua, Tengku Faridah memasukkan barang kemas miliknya ke dalam kotak kayu yang berwarna coklat dengan kemasan emas terukir cantik. Ianya kelihatan begitu eksklusif dan menonjolkan personaliti pemiliknya yang mementingkan gaya dan kualiti.
“Betul ke ni ma? Selama ni Angah tak dengar apa-apa pun? Papa pun tak pernah sebut pasal ni,”ujar Tengku Farish. Dia masih tidak dapat mempercayai apa yang telah disampaikan oleh mamanya sebentar tadi. Seolah-olah dia sedang menonton drama Melayu yang klise mahupun telenovela Latin yang skeptikal.
Tengku Faridah menoleh sekilas pada satu-satunya anak lelakinya yang sedang duduk di atas kerusi meja soleknya. Tengku Faridah menutup kotak barang kemasnya lalu membetulkan duduknya menghadap Tengku Farish. Kedudukannya yang hampir dengan birai katil sebentar tadi pasti akan menyebabkannya terjatuh sekiranya terlalu ralit dengan barang kemasnya.
“Apa yang mama cerita dekat Angah ni memang betul. Pasal papa tu, dia memang lembap macam siput. Dia manalah nak peduli semua tu?,”ujar Tengku faridah seraya mengkritik sikap suaminya yang bersikap sambil lewa tentang perkara sepenting itu.
“So kalau ikut wasiat Along kena kahwin untuk dapatkan lagi 30% syer dalam Aryani Corporation? Sebelum tahun depan?” Tengku Farish membuat andaian sendiri berdasarkan cerita mamanya.
Tengku Faridah mengiyakan dengan anggukan. Tengku Farish jelas terkejut. Cerita mamanya tentang Indah Zuryna berputar ligat dalam kotak fikirannya.
Tengku Farish mengeluh tiba-tiba. “Tapi kan ma, susah pulak Angah nak percaya. Macam cerita Melayu kat tv  je. Dramatik semacam,”gumam Tengku Farish, sukar untuk mempercayai cerita Tengku Faridah.
Tengku Faridah berdecit kasar. Geram pula apabila anak lelakinya itu tidak mempercayainya. Dipandang Tengku Farish yang leka menggosok bawah dagunya. Berfikir tentang kesahihan cerita mamanya.
“Apa yang susah nak percayanya Angah? Sebelum meninggal dulu, Tengku Fadhil serahkan Aryani Corporation dan harta dia pada Tengku Aryani. Selain dari syarikat tu dia ada asset di Australia dan bon saham berjuta-juta ringgit. Lepas empat tahun, Tengku Aryani pulak sakit sebab kanser. Jadi dia wasiatkan separuh dari harta dia untuk along kamu demi kepentingan dia. Memanglah papa kamu ada warisi harta dia tapi tak adalah banyak macam Indah…”
“Habis tu kenapa pula 25% syer tu hanya diserahkan selepas Along kahwin? Kenapa ada syarat macam tu?”
Tengku Faridah terdiam seketika. Tiba-tiba sahaja memori silam menghantui benak fikirannya. Punca mengapa Tengku Aryani meletakkan syarat sebegitu dalam wasiatnya. Beberapa bulan sebelum Tengku Aryani meninggal, wanita itu ada memanggilnya dan Tengku Anuar berbincang tentang wasiatnya. Bagaimana harus dia melindungi kepentingan Indah Zuryna setelah dia tiada lagi.
Tengku Anuar dengan rela hati menawarkan dirinya untuk menjaga Indah Zuryna dan menganggap gadis itu seperti anaknya sendiri. Tengku Faridah pada awalnya tidak bersetuju kerana menganggap Indah Zuryna akan menjadi beban mereka berdua. Namun apabila Tengku Aryani sudi memberikan 10% saham dalam Aryani Corporation sebagai ucapan terima kasih, Tengku Faridah berbesar hati untuk menjaga Indah Zuryna.
Namun entah mengapa bagi Tengku Faridah itu semua masih belum mencukupi lalu menghasut Tengku Anuar untuk meminta lebih dari Tengku Aryani. Tengku Anuar menolak dan menganggap Indah Zuryna juga anak saudara mereka berdua maka wang tidak sepatutnya menjadi asas pada perhubungan mereka.
Sememangnya Tengku Faridah tidak pernah menyangka bahawa Tengku Aryani seolah-olah dapat menghidu rancangannya untuk membolot harta Indah Zuryna. Setelah wasiat dibacakan oleh Datuk Mazlan, peguam peribadi Tengku Aryani, Tengku Faridah benar-benar terkejut.
25% saham milik Tengku Aryani diserahkan kepada Indah Zuryna. 10% diserahkan kepada Tengku Anuar seperti yang dijanjikan. Selebihnya diletakkan di Amanah Raya Berhad di mana apabila Indah Zuryna berumur 21 tahun dia berhak mewarisi semuanya. Tengku Anuar dinamakan sebagai Pemegang Amanah Pertama dan Tengku Faridah sebagai Pemegang Amanah Kedua. Sebarang urusan berkaitan dengan harta Indah Zuryna hanya boleh dilakukan apabila Indah Zuryna berusia 21 tahun.
Apa yang lebih mengejutkan adalah lebihan 25% saham milik Tengku Aryani hanya akan diserahkan apabila Indah Zuryna berkahwin sebelum berumur 28 tahun. Di mana 20% darinya akan menjadi milik suami Indah Zuryna dengan kebebasan sepenuhnya diberikan kepada suami Indah Zuryna dalam mentadbir saham tersebut. Sekiranya Indah Zuryna tidak berkahwin sebelum 28 tahun maka saham itu akan diserahkan kepada badan kebajikan.
Atas sebab itulah Tengku Faridah mahu menjodohkan Indah Zuryna dengan Arman. Apabila Indah Zuryna berkahwin nanti, 20% saham yang sepatutnya menjadi milik suami Indah Zuryna iaitu Arman akan diserahkan kepadanya. Arman sendiri bersetuju tentang perkara itu memandangkan Arman cuma mahukan Indah Zuryna menjadi miliknya.
Hanya Indah Zuryna sahaja yang acuh tidak acuh dengan cadangannya itu. Kini sudah pun hampir 2 tahun rancangannya tergendala kerana kedegilan Indah Zuryna. Tengku Faridah perlu memastikan Indah Zuryna berkahwin dengan Arman pada tahun ini juga. Andai paksaan yang dapat menundukkan Indah Zuryna, Tengku Faridah tetap akan melakukannya.
“Jadi along pun tahulah pasal wasiat tu?”
Pertanyaan Tengku Farish mematikan lamunan Tengku Faridah. Tengku Faridah menoleh pada Tengku Farish yang berkerut memandangnya. Pertanyaan anaknya itu dibiarkan seketika tanpa sebarang jawapan. Tengku Farish jadi pelik melihat reaksi mamanya yang hanya menyepi tanpa suara.
“Kenapa ma?”soal Tengku Farish lagi.
“Bila Angah tanya macam tu, mama pun jadi tertanya…”
“Apa dia?”tingkah Tengku Farish tidak sabar.
“Masa wasiat tu dibacakan Indah baru 7 tahun. Jadi mama pun tak pasti samada dia masih ingat isi wasiat tu. Dan kalau dia masih ingat sekalipun apakah dia faham maksud wasiat tu….”beritahu Tengku Faridah.
Tengku Farish mengerutkan dahinya. “Ish, takkanlah dia faham ma. Dah 20 tahun sejak wasiat tu dibacakan, jangan-jangan dia dah lupa…”teka Tengku Farish. Tidak mungkin Indah Zuryna masih mengingati tentang isi kandungan wasiat tersebut.
“Itulah yang menjadi tanda tanya. Samada dia ingat atau tidak bukan persoalannya. Kerana Datuk Mazlan sendiri dipertangunggjawabkan untuk mengingatkan along kamu kalau dia masih belum kahwin bila berumur 27 tahun…”jelas Tengku Faridah.
“Patutlah mama beria nak jodohkan dia dengan Arman. Rupa-rupanya mama memang nak lagi 20% saham Aryani Corporation tu. Pandai juga mama ni ya..”usul Tengku Farish seraya memuji kebijaksanaan Tengku Faridah.
Tengku Faridah tersenyum lebar. Merasa bangga apabila dipuji sebegitu. Namun jauh di sudut hati dia masih bimbang. “Mama harap selepas Datuk Mazlan meninggal tiada sesiapa pun bagitahu Indah pasal wasiat tu,”getus Tengku Faridah perlahan.
Tengku Farish hairan mendengar kata-kata mamanya. “Kenapa?”
Tengku Faridah memandang anaknya. “Sebab kalau dia tahu isi wasiat tu, maknanya dia akan tahu kenapa mama beria-ia nak kahwinkan dia dengan Arman. Dan kalau dia dah tahu semua tu maknanya dia akan menolak cadangan mama. Jadi sia-sialah usaha mama selama ni. Mama kenal sangat dengan along kamu tu. Dia rela hilang 20% tu dari berkahwin dengan Arman!”

No comments:

Post a Comment