Wednesday, June 1, 2011

Mengapa Harus Cinta: BAB 4



Tahun 2007….
                “Hari ni Datuk ada meeting dengan wakil daripada Bumi Construction tentang pembekalan bahan binaan pukul 11 pagi. Petang pula Datuk kena pergi Prince Court untuk ambil medical report…”beritahu Arianna.
                Datuk Rashid menepuk dahinya. “Allah! Saya lupa soal medical report tu. Nasib baik awak ingatkan saya. Kalau tak Datin kat rumah mesti membebel,”ujar Datuk Rashid. Terasa sedikit lega kerana mempunyai seorang setiausaha yang cekap dan efisien seperti Arianna.
                Arianna senyum. “It’s my job Datuk. To inform and to remind you!”
                Datuk Rashid ketawa kecil. “Yes you are. Awak ni macam diari bergerak saya pulak,”gurau Datuk Rashid. Arianna menyambut gurauan Datuk Rashid dengan tawa halus. Lelaki lebih daripada separuh abad itu memang suka bergurau. Jika dilihat pada penampilan Datuk Rashid, dia kelihatan serius seandainya tidak tersenyum. Pada awalnya Arianna juga kecut perut melihat Datuk Rashid. Namun setelah betul-betul mengenali lelaki itu, Arianna sedar Datuk Rashid seorang yang ceria dan gemar mengusik. Pastinya tidak kering gusi dibuatnya. Arianna senang bekerja dengan Datuk Rashid.
                “So, anything else?”soal Datuk Rashid lantas mematikan lamunan Arianna.
                “Tak ada Datuk. Itu saja untuk hari ni…”balas Arianna.
                “Okaylah. Kalau macam tu awak keluar dulu…”arah Datuk Rashid.
                Arianna mengangguk. Arianna baru sahaja membuka pintu apabila Datuk Rashid kembali memanggilnya memaksa Arianna berpaling semula ke arah Datuk Rashid. Wajah tenang Datuk Rashid dipandang.
                “Next week anak saya balik Malaysia. Dia akan bekerja di sini. I need your help then…”beritahu datuk Rashid.
                Kening Arianna berkerut. “Help?”
                Datuk Rashid tersenyum. “I’ll let you know when the time comes….”
                “Baiklah Datuk…err..ada apa-apa lagi tak? Janganlah pulak saya dah dekat pintu Datuk panggil balik,”kata Arianna seraya mengusik Datuk Rashid.
                Berderai ketawa Datuk Rashid dengan gurauan Arianna. Tiada sedikit pun perasaan marah diusik begitu kerana dia faham dengan sikap Arianna yang gemar bergurau. Datuk Rashid sendiri pun senang dengan suasana kerja yang ceria tanpa tekanan. Ia lebih elok untuk perkembangan dan kemajuan syarikat serta hubungan di antara pekerja.
Biarpun begitu, Datuk Rashid sering menekankan bahawa perlu ada batasan di antara pekerja bawahan dengan pihak atasan. Jangan pula sampai hilang rasa hormat kepada majikan. Alhamdulillah, Datuk Rashid boleh menarik nafas lega kerana sikap para pekerjanya yang positif dan telah banyak membantu dalam urusan dan kemajuan syarikat.
Arianna meletakkan planner hitam di atas mejanya. Tugasnya pagi itu untuk memberitahu jadual Datuk Rashid telah terlaksana. Kini apa yang menanti adalah fail-fail di atas mejanya. Apatah lagi dia perlu menyediakan minit mesyuarat dan agenda untuk mesyuarat lembaga pengarah yang akan diadakan minggu hadapan. Notis sudah pun diserahkan kepada ahli lembaga pengarah, disusuli pula dengan e-mail.
Arianna sengaja menggunakan kedua-dua kaedah itu agar tiada sesiapa yang wajib hadir ke mesyuarat itu terlepas daripada menghadirinya. Nanti dia pula yang dipersalahkan Datuk Rashid. Seboleh-bolehnya Arianna mahu melakukan tugasnya dengan sempurna. Tidak mahu melakukan sebarang kesalahan yang sepatutnya boleh dielakkan. Lagi pula Datuk Rashid agak cerewet di dalam tugasan seperti itu. Ianya melibatkan kredibiliti Datuk Rashid dan Enigma Corporation. Setahun menjadi setiausaha Datuk Rashid selepas Mastura berhenti membuatkan Arianna memahami kehendak dan cara Datuk Rashid bekerja.
Pada awalnya Arianna bertugas sebagai pembantu Mastura di Enigma. Tetapi selepas suami Mastura mendapat tawaran bekerja di Dubai, Mastura terpaksa berhenti kerja dan mengikut suaminya berpindah ke sana. Tempat Mastura yang kosong diisi oleh Arianna memandangkan Arianna sudah tahu serba sedikit tentang pengurusan di situ selepas menjadi pembantu Mastura selama dua tahun. Biarpun Arianna tidak berapa yakin dengan ilmu yang boleh dikatakan baru setahun jagung itu tapi kesungguhan Datuk Rashid dalam memberi peluang kepadanya tidak dapat ditolak.
                “Let started it now!”ujar Arianna bersungguh-sungguh. Arianna menggapai salah satu fail yang tersusun dan terus melakukan kerjanya dengan tekun.
**************************************

Sebaik sahaja meletakkan kunci di atas meja Arianna menghempaskan tubuhnya ke sofa. Terasa lega dan penatnya berkurangan sedikit demi sedikit. Kepenatan dengan tugas-tugas yang tidak pernah habis di pejabat dan terpaksa mengharungi kesesakan Jalan raya hampir sejam di dalam kereta membuatkan badan Arianna merasa lenguh. Penat yang tidak seberapa pada asalnya bertambah akibat trafik yang menjadi satu rutin di Bandar Kuala Lumpur. Mujur juga kereta Myvi yang dibelinya tahun lepas jenis automatik. Kalau jenis manual pasti kakinya juga sakit menekan klac dan brek dalam kesesakan jalanraya.
                Arianna mencapai alat kawalan di atas meja dan ditekan butang ON. Jarinya pantas menekan nombor tiga. Terdapat drama melayu bertajuk Manjalara mengisi slot AKASIA di tv3. Drama itu begitu hangat diperkatakan termasuklah di pejabatnya. Hanum dan Siti sentiasa berbual-bual tentang jalan cerita drama tersebut di pantry. Kadangkala mereka menunjukkan emosi yang sejajar dengan watak-watak di dalam cerita tersebut. Arianna yang turut berada di dalam pantry sekadar mendengar. Dia juga ada menonton tetapi tidaklah sefanatik Hanum dan Siti yang asyik bercerita. Bagi Arianna, plot cerita itu yang bertemakan balas dendam menarik perhatiannya.
                Sekilas Arianna memandang ke arah bingkai gambar di sisinya yang terletak di atas meja kecil. Arianna mengambilnya dan menatap lama. Tergambar kegembiraan dan kebahagian di wajahnya bersama-sama abah, ibu dan along. Senyuman yang terukir perlahan-lahan hilang dan berganti dengan rasa sebak. Diusap wajah-wajah yang sudah lagi tidak bersamanya. Arianna kini keseorangan. Dua tahun selepas pemergian abah, ibu pula yang meninggalkan Arianna. Di saat Arianna hanya punya Puan Ainon dalam menempuh segala penderitaan, Puan Ainon juga dijemput Ilahi.
Arianna bersendirian menghadapi segala rintangan hidup. Apa yang tinggal hanyalah harta pusaka ibubapanya yang digunakan untuk melanjutkan pelajarannya ke kolej. Di Kolej SEGi di Damansara, Arianna mengambil Diploma Pentadbiran Awam. Selama tiga tahun Arianna bertungkus lumus akhirnya dia berjaya. Arianna tidak perlu menunggu lama untuk mendapat tawaran pekerjaan apabila sesi temuduga di Enigma berjalan lancar dan dia diterima bekerja di situ.
Sememangnya itulah yang diharapkan Arianna. Dengan bekerja di Enigma, Arianna selangkah lagi maju dalam merealisasikan rancangannya. Mendapat peluang bekerja di bawah Datuk Rashid juga ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Arianna merasakan semuanya begitu mudah. Tuhan seolah-olah membuka jalan untuknya. Apa yang Arianna harapkan kini adalah langkah seterusnya dan peluang itu hanya akan datang apabila anak Datuk Rashid pulang ke Malaysia.
      “Along…adik akan balas dendam untuk along….” Arianna mengusap wajah Arissa yang tersenyum gembira. Dibawa bingkai gambar itu ke dalam pelukannya dan serentak itu airmata Arianna gugur untuk ke sekian kalinya. Airmata yang tidak pernah kering bertahun-tahun menanggung penderitaan sendirian.



No comments:

Post a Comment