Monday, May 30, 2011

Al Kisah Wayang Kulit & Arwah Atuk






hari Jumaat aritu aku ader tgk citer WAYANG lakonan Eman Manan, Zul Huzaimy dan Mas Muharni kt TV2. Citer tu mmg best sbb jalan ceritanya yg lebih kepada cuba memperkenalkan wayang kulit pd generasi muda hari ni...Dan apa yang membuat aku lebih tertarik adalah, dahulu arwah atuk aku juga DALANG wayang kulit. Malah masa arwah masih hidup dia ada simpan dua karakter wayang kulit tp aku xtsure yg mana satu. Tak silap aku PAK DOGOL satu tuh..yg kedua tu xpasti....Masa kecik2 dulu bila tgk je mesti aku takut sbb rasa cm ada aura pelik je kt wayang kulit tuh..hehe..beselah perasaan yang bukan2 kan. tp apa yg aku dengar kalo kita nak men wayang kulit kena ada ilmu tertentu. Entahlah, yg tu aku kurang arif la plak..Kang tersilap cakap plak jadik mende lain...

Kalo citer pasal wayang kulit kt Kelantan ni yang paling terkenal adalah tok dalang yang berbangsa Cina tu. Nama dia Oye Hock Seng (aku google dlm tenet) tp pakcik tu mmg kawan baik la ngan arwah atuk aku. Masa arwah atuk aku aktif dlm wayang kulit dia slalu la jumpa pakcik cina tuh...Hinggakan bila arwah atuk aku meninggal pada tahun 2009, dua patung wayang kulit milik arwah diberikan pada pakcik tu. Jadi anak2   arwah atuk aku xde sorang pun yang berminat utk menyambung warisan dia. Lagipun atuk aku sendiri dulu pun dah lama berhenti jadi dalang wayang kulit. rasanya masa aku sekolah rendah dulu pun dia dah tak brapa aktif. Cuma paksu aku je yg aku tgk minat wat patung wayang kulit tuh...Banyak gak la koleksi dia. Skang ni aku tak sure plak dia still simpan lagi ke tak...

Papa aku yg berasal dari Johor pun sampai berminat gak ngn wayang kulit. Kalau ada je dengar ader org wat pertunjukan dekat ngn area Pasir Mas mesti dia pegi tengok ngn mama aku. Sonok dengar cerita2 yg dimainkan tuh.. Ader yg klaka ader yg cm drama serius gitu. Bila part Wok Yoh, Samad, Said dan Pak Dogol mesti kelakar. aku rasa watak2 tu yg menghidupkan dunia wayang kulit. 

Tapi dengan kemajuan teknologi skang watak Wok Yoh, Samad dan Said skang dah dijadikan sbg karekter katun n sangatlah popular kt Kelantan. VCD2 dia org mmg laku lah..Okaylah utk pomot watak2 tuh supaya tak terus hilang dengan arus moden skang kan? Hehehe....

Nak citer sket asal usul wayang kulit (sumber dari wikipedia):

Wayang Kulit Siam (atau Wayang Kulit Kelantan) ialah sejenis kesenian wayang kulit yang berasal dari negeri Kelantan Darul Naim. Ia merupakan salah satu dari empat jenis persembahan wayang kulit yang terdapat di Malaysia. Wayang Kulit Siam telah dikenal pasti sebagai jenis persembahan wayang kulit yang tertua di Malaysia. Selain itu, jenis wayang kulit ini juga adalah yang paling terkenal dan terpenting di Malaysia sejak dari zaman dahulu hingga kini.

Suatu ketika dahulu, kesenian Wayang Kulit Siam pernah mendapat sambutan hangat di kalangan orang-orang Melayu sehingga pengaruhnya telah tersebar dari Kelantan ke negeri-negeri jiran seperti TerengganuPahangKedah dan Perak. Selain itu, kesenian ini juga pernah bertapak kukuh di empat buah wilayah di kawasan Selatan Thailand iaitu PattaniYala,Narathiwat dan sebahagian Songkhla, yang dahulunya merupakan bekas wilayah Kesultanan Melayu Patani.

Gelaran 'Siam' yang diberikan kepada kesenian wayang kulit ini adalah dipercayai merujuk kepada negara Siam (kini Thailand). Sejarah teknik pedalangan Wayang Kulit Siam dipercayai telah dibawa masuk ke Kelantan dari Kemboja melalui Thailand. Maka dari situlah, kesenian ini diberi nama Wayang Kulit Siam.

Selain itu, kesenian Wayang Kulit Siam juga dikenali sebagai Wayang Kulit Kelantan kerana sejarah asal-usul wayang kulit itu sendiri bermula di Kelantan. Masyarakat Melayu Patani di selatan Thailand pula menyebut kesenian ini sebagai 'Wayang Kelantan' atau 'Wayang Siam Kelantan' kerana kesenian ini telah dibawa masuk ke negeri Patani dari Kelantan. Di Pahang pula, kesenian ini lebih dikenali sebagai 'Wayang Pahang' yang dipersembahkan oleh orang-orang Melayu Kelantan yang berhijrah ke negeri tersebut.

Sejarah mengenai asal-usul Wayang Kulit Siam masih kabur dan kurang jelas hingga ke hari ini. Terdapat banyak kajian yang telah dilakukan bagi mencari bukti mengenai asal-usul kesenian ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa teori yang telah diutarakan oleh para pengkaji mengenai asal-usul Wayang Kulit Siam. Teori-teori tersebut adalah seperti berikut:-

Satu teori menyebut tentang Wayang Kulit Siam yang dikatakan berasal dari Thailand. Terdapat beberapa bukti yang menyokong teori ini. Di antaranya ialah nama wayang kulit itu sendiri iaitu 'Siam', ialah nama lama bagi negara Thailand. Selain itu, penggunaan bahasa Siam / Thai dalam persembahan Wayang Kulit Siam seperti pengucapan Mantera Maharisi oleh dalang juga menyokong teori tersebut.

Walau bagaimanapun, hasil kajian mendapati bahawa teknik pedalangan Wayang Kulit Siam sebenarnya berasal dari Kemboja dan telah dibawa masuk ke Kelantan melalui Siam (Thailand). Dengan ini, penggunaan nama 'Wayang Kulit Siam' itu sebenarnya menjelaskan tentang teknik pedalangan kesenian tersebut yang dibawa masuk dari Siam. Penggunaan bahasa Siam / Thai dalam persembahan Wayang Kulit Siam pula hanyalah sekadar pengaruh budaya yang biasa sahaja.

Teori lain menyebut Wayang Kulit Siam berasal dari Patani, bekas negeri kesultanan Melayu di selatan Thailand. Wayang Kulit Siam dikatakan telah berkembang dari Patani ke Kelantan ketika zaman dimana Kelantan masih berada dibawah pengaruh Kesultanan Patani. Selain itu, bentuk dan corak pakaian pada patung Seri Rama dikatakan ditiru daripada pakaian asal Raja-raja Melayu Patani pada zaman silam.

Namun begitu, para pengkaji mendapati bahawa kesenian Wayang Kulit Siam bukan berasal dari Patani, tetapi dari Kelantan. Kesenian ini dipercayai telah berkembang ke Patani ketika zaman dimana Kelantan berada di bawah pengaruh Kesultanan Patani. Dipercayai semua penggiat kesenian Wayang Kulit Siam yang hidup pada zaman tersebut telah mereka bentuk dan corak pakaian pada patung Seri Rama menyerupai pakaian asal Raja-raja Melayu Patani pada zaman silam.

Satu lagi teori mengatakan teknik pedalangan Wayang Kulit Siam dibawa masuk ke Kelantan dari Kemboja melalui Thailand. Namun begitu, hasil kajian mendapati bahawa bentuk persembahan Wayang Kulit Siam yang wujud pada hari ini adalah berasal dari Kelantan. Oleh itu, sejarah Wayang Kulit Siam bolehlah dianggap bermula di Kelantan.

Ini terbukti apabila sumber-sumber sejarah menyebut Wayang Kulit Siam yang pernah berkembang di negeri Terengganu, Patani, Pahang, Perak dan Kedah adalah dibawa masuk dari Kelantan. Tambahan pula, orang-orang Melayu Patani menyebut kesenian ini sebagai 'Wayang Kelantan' atau 'Wayang Siam Kelantan' di negeri mereka. Selain itu, persembahan Wayang Kulit Siam juga sentiasa disampaikan dalam Bahasa Melayu Kelantan tidak kira di negeri mana sekalipun ianya dipersembahan. Teori ini adalah yang paling popular dan diterima banyak pihak memandangkan terdapat banyak bukti yang ditemui bagi menyokong teori ini.

Pada hari ini, Wayang Kulit Siam hanya boleh ditemui di negeri asalnya iaitu Kelantan dan juga di Terengganu. Persembahan Wayang Kulit Siam dianggap sebagai salah satu seni kebudayaan yang terpenting di negeri Kelantan. Selain itu, kesenian ini juga boleh ditonton di beberapa buah universiti seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan(ASWARA), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), dimana Wayang Kulit Siam telah diajar secara teori dan praktikal kepada para pelajar yang mengambil bidang tertentu. Sementara itu, persembahan Wayang Kulit Siam di negeri Pahang, Kedah, Perak dan Patani telah pun berkubur.
§  
    Oye Hock Seng - satu-satunya dalang Wayang Kulit Siam yang berketurunan Peranakan Cina Kelantan.

P/S: Al-fatihah buat arwah atuk aku yg kami semua panggil dia "Che" iaitu Salleh bin Awang. Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan soleh di sisi Allah s.w.t.




Mengapa Harus Cinta: BAB 3


Tiga orang suspek dikenal pasti telah terlibat di dalam pembunuhan Arissa. Sewaktu diberitahu tentang penangkapan suspek-suspek tersebut Arianna benar-benar lega. Akhirnya ada keadilan buat Arissa. Arianna tahu ketiga-tiga mereka yang merupakan rakan sekuliah Arissa melakukan itu semua kerana dendam. Dendam kerana Arissa tidak mahu berkawan dengan mereka. Dendam kerana mereka merasakan maruah mereka tercabar. Arianna benar-benar berharap ketiga-tiga mereka akan dihukum gantung. Barulah dia akan merasa puas dan kematian Arissa terbela.
                Biarpun berita penangkapan suspek itu diketahui oleh keluarga Arianna, kesedihan kerana kehilangan Arissa tidak akan terpujuk. Puan Ainon mula jatuh sakit selepas kematian Arissa. Tiap-tiap malam nama Arissa tidak lekang di bibir Puan Ainon. Arianna yang setia menemani ibunya turut bersedih. Kesedihan seorang ibu mungkin tidak dapat difahami oleh Arianna tetapi dia tahu peristiwa mendadak itu tidak dapat diterima dengan senang. Arissa yang ceria dan penuh dengan gelak tawa sudah tiada lagi. Rumah mereka seolah-olah sudah kehilangan cahaya yang menjadi sinaran.
                Arianna menyuakan sudu yang berisi bubur ayam ke mulut ibunya. Puan Ainon tidak bertindak balas. Tiada tanda Puan Ainon akan membuka mulutnya. Arianna menarik kembali tangannya. Keluhan dilepaskan perlahan. Wajah pucat ibunya ditatap dengan penuh kasih.
                “Ibu…makanlah sikit. Dah seminggu ibu macam ni. Jangan buat adik risau…”pujuk Arianna biarpun dia tahu ibunya akan tetap menolak. Telahan Arianna tepat. Puan Ainon menggeleng perlahan. Airmata yang bertakung di kelopak mata mula gugur membasahi pipinya yang semakin cengkung.
                “Along….ibu nak along…along…”luah Puan Ainon sayu.
                Arianna mengetap bibir cuba menahan hiba di hati. “Ibu….”
                “Adik…along akan balikkan? Tak lama lagi exam dia dah nak habis…tentu dia balik rumah. Adik pergi kemas bilik dia…”racau Puan Ainon. Digenggam erat kedua-dua tangan Arianna membuatkan Arianna terkejut. Emosi ibunya semakin tidak stabil. Kerinduan terhadap Arissa menjadikan Puan Ainon hilang pertimbangan. Pemergian Arissa seolah-olah membawa bersama semangatnya.
                “Ibu, janganlah macam ni! Along dah tak ada!” kata Arianna dalam tangisan sambil mendakap erat tubuh Puan Ainon. Esakan Puan Ainon semakin kuat. Nama Arissa disebut-sebut dalam nada sayu. Arianna turut menangis bersama ibunya, menghamburkan segala kesedihan dan kerinduan terhadap Arissa. Biaupun mereka berdua mengerti yang Arissa tidak mungkin akan kembali lagi tetapi kehilangan yang begitu tidak disangka itu memberi kesan yang mendalam kepada keluarga mereka.
                Ketika ini, apa yang Arianna harapkan adalah semoga permohonan Encik Azrai untuk ditukarkan ke ibu pejabat di Kuala Lumpur akan segera diluluskan. Arianna tidak betah hanya berdua dengan ibunya di dalam rumah itu berhadapan dengan kenangan-kenangan Arissa yang memenuhi setiap ruang. Apatah lagi perbicaraan kes pembunuhan Arissa akan bermula minggu hadapan. Arianna pasti akan menghadirinya bersama abahnya untuk melihat bagaimana pembunuh kakaknya dihukum mengikut undang-undang. Arianna mahu kematian Arissa terbela.
                Arianna tersentak apabila telefon rumah berdering. Pelukan ibunya dileraikan dan bergegas turun ke ruang tamu. Saat telinganya mendengar butir bicara di sebalik corong telefon Arianna tergamam dan kaku di tempatnya. Pipi yang masih basah sekali lagi dihujani airmata yang gugur satu persatu. Dadanya terasa seperti ditindih dengan sebiji batu yang besar, menyukarkan dirinya untuk bernafas. Arianna meletakkan gagang telefon ke tempatnya. Dengan langkah longlai Arianna mendaki anak-anak tangga menuju ke bilik ibunya.
                Pintu bilik ditolak perlahan. Mata Arianna dan Puan Ainon bersatu dan Arianna terus kaku di muka pintu dengan deraian airmata. Puan Ainon memandang Arianna lama. Jelas di wajahnya ingin tahu apa yang telah berlaku dan kenapa Arianna berkelakuan begitu setelah menjawab panggilan sebentar tadi.
                “Siapa telefon?”tanya Puan Ainon.
                Serentak dengan pertanyaan itu Arianna menerpa ke arah Puan Ainon lalu memeluk ibunya. Pelukannya semakin  kuat, sekuat tangisannya. Puan Ainon yang masih tidak mengerti apa-apa turut membalas pelukan anaknya sambil menepuk-nepuk perlahan belakang tubuh Arianna cuba untuk menenangkannya.
                “Kenapa ni adik? Kenapa menangis macam ni?”suara lembut Puan Ainon menerpa ke gegendang telinga Arianna yang masih menangis.
                “Abah….abah….”esakan yang masih belum reda membuatkan Arianna tidak dapat memberitahu dengan betul. Hanya itu yang terkeluar dari mulutnya. Dan pastinya berita yang baru didengar ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Seperti kapal yang karam dilambung ombak tsunami. Tangisan Arianna semakin nyaring dan Puan Ainon tidak dapat berbuat apa-apa. Di tubir mata Arianna terbayang senyuman abahnya. Lama-kelamaan wajah abah semakin kabur dan terus kabur. Abah….

**************************************

Perkarangan mahkamah majistret 4 di Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur agak sesak. Arianna yang berdiri di sudut balkoni sedari tadi memerhatikan gelagat-gelagat mereka. Terdapat 3 orang lelaki yang berpakaian serba hitam yang mana Arianna tahu mereka adalah peguam yang mempunyai kes untuk dibicarakan pada hari ini. Terdapat juga beberapa wartawan di situ, cuba untuk mendapatkan maklumat tentang kes yang akan berlangsung.
                Arianna melihat jam di pergelangan tangannya. Sudah pukul 2 petang, sebentar lagi mahkamah akan bersidang. Peguam-peguam tadi mula memasuki ruang mahkamah. Arianna dan beberapa orang awam turut melangkah masuk membontoti peguam-peguam tadi. Arianna mengambil kerusi yang paling belakang, mahu memerhatikan dari jarak jauh. Sengaja untuk menyembunyikan diri, agar tiada sesiapa dapat mengecamnya.
                Sudah dua minggu kes Arissa dibicarakan. Selama itulah hanya Arianna yang menghadiri perbicaraan itu tanpa ditemani sesiapa. Puan Ainon masih terlantar sakit di rumah. Biarpun ibunya berdaya untuk ke mahkamah namun Arianna tidak mahu ibunya bersusah payah sedangkan Arianna boleh menjadi wakil. Apatah lagi ibu masih bersedih dengan kematian abah. Arianna sendiri masih meratapi pemergian abah namun dikuatkan hatinya untuk hadir. Pada awalnya Arianna menyangkakan abah akan menemaninya namun kemalangan di tempat kerja telah meragut nyawa abah. Arianna dan Puan Ainon kini kehilangan tempat untuk bergantung.
                Arianna benar-benar bingung dan buntu. Dalam masa sebulan dia kehilangan dua orang yang paling penting dalam hidupnya. Arissa pergi dalam keadaan yang menyayat hati manakala abah menyusul tatkala Arianna dan ibu memerlukan abah untuk menjalani kehidupan. Pada siapa lagi yang boleh Arianna dan ibu berpaut? Mereka berdua seolah-olah kehilangan kedua-dua belah kaki. Tidak mampu untuk berjalan lagi.
                Hampir sejam kes Arissa dibicarakan dengan laporan forensik daripada doktor dan keterangan daripada dua orang saksi. Sepanjang itu juga Arianna merasa hairan. Disebabkan itulah sebaik sahaja tamat prosiding mahkamah Arianna segera menemui Inspektor Mokhtar yang turut hadir. Inspektor Mokhtar agak terkejut melihat Arianna. Dia tidak menyangka gadis itu menghadiri perbicaraan. Fikirnya keluarga Arissa tidak akan hadir kerana Encik Azrai baru sahaja meninggal dunia.
                “Arianna…? Apa yang awak buat kat sini?”soal Inspektor Mokhtar pelik.
                “Menghadiri perbicaraanlah….”balas Arianna.
                “Tapi abah awakkan…”
                “Ini apa yang abah saya mahukan kalau dia masih hidup…”celah Arianna sebelum sempat Inspektor Mokhtar menghabiskan kata-katanya. Inspektor Mokhtar menganggukkan kepalanya memahami apa yang cuba disampaikan oleh Arianna. Dia juga dapat merasakan keghairahan anak muda itu untuk mendapatkan keadilan buat kakaknya.
                “Tapi Inspektor, saya musykil satu perkara…”luah Arianna. Wajah Inspektor Mokhtar yang berkerut mendengar dipandang.
                “Tentang apa Arianna?”
                “Setahu saya ada tiga suspek. Kenapa jadi dua pulak?”soal Arianna. Sejak di dalam mahkamah lagi Arianna pelik apabila hanya ada dua nama yang menjadi suspek di dalam kes pembunuhan Arissa. Sedangkan semasa penangkapan dibuat oleh pihak polis terdapat tiga orang lelaki yang menjadi suspek utama.
                “Sebenarnya pihak pendakwaan menjadikan Encik Ammar sebagai saksi di dalam kes ini. Lagipun tiada bukti untuk sabitkan dia di dalam kes pembunuhan Arissa. Memang dia bersama dengan Arissa pada hari kejadian tetapi ada kecemasan berlaku di rumahnya sebab tu dia tinggalkan Arissa di Semarak dan dia pulang ke rumah. Encik Ammar ada alibi untuk mengukuhkan kenyataan dia. Jadi dia tidak bersalah di dalam kes ini. Pihak pendakwa jadikan dia saksi sebab dia sedar akan niat jahat dua suspek tersebut…”jelas Inspektor Mokhtar.
                Arianna terdiam seketika. Cuba memikirkan penjelasan pegawai polis itu. “Sebegitu mudah?”terletus kata-kata itu di bibir Arianna.
                Terangkat kening Inspektor Mokhtar. “Apa maksud Arianna?”
                “Macam mana kalau dia yang rancang semua tu? Macam mana kalau dia sengaja tinggalkan kakak saya kat tempat tu? Lelaki tu dalang dalam kes ni! Takkan inspektor tak nampak?” Arianna membuat spekulasi berdasarkan apa yang diketahuinya.
                Keluhan kedengaran dari bibir Inspektor Mokhtar. “Saya faham perasaan Arianna. Arianna mahu menuntut keadilan di atas kematian Arissa. Arianna mahu mereka yang terlibat diberi hukuman yang setimpal. Tapi setiap bukti harus diteliti. Setiap maklumat perlu diselidik. Sememangnya pada awal Encik Ammar dijadikan suspek, tetapi selepas pihak polis melakukan siasatan dan terdapat bukti kukuh yang Encik Ammar tidak bersalah jadi undang-undang tidak dapat mengapa-apakan dia. Pada pengamatan saya pun dia tidak bersalah dalam hal ni.”
                “Tapi dia yang menyebabkan kematian kakak saya! Dia harus dihukum! Dia pembunuh!”lantang Arianna menyuarakan kemarahannya terhadap lelaki bernama Ammar itu. Membiarkan Arissa menjadi mangsa nafsu buas kawan-kawannya, membiarkan Arissa terdedah kepada bahaya dan sengaja membuka jalan kepada kawan-kawannya menjadikan lelaki bernama Ammar itu sebagai pembunuh Arissa di mata Arianna. Arianna tidak akan memaafkan lelaki itu biarpun undang-undang membuktikan lelaki itu tidak bersalah.
“Kenapa dia terlepas Tuan? Kenapa?”soal Arianna geram. Wajah Inspektor Mokhtar ditenung tajam. Inspektor Mokhtar mengerti kemarahan gadis muda itu. Namun undang-undang tidak boleh menghukum orang yang tidak bersalah.
                “Arianna, majistret melepaskan dia sebab tiada bukti dia terbabit dalam kes ni. Lagipun hanya air mani dua orang suspek yang dijumpai di kemaluan mangsa.”jelas Inspektor Mokhtar.
                “Tapi dia mesti tahu tentang perkara tu kan, Tuan? Dia mesti tahu niat kawan-kawan dia! Kenapa dia tak halang? Kenapa dia biarkan kawan-kawan dia rogol dan bunuh kakak saya? Dia pun bersubahat dengan kawan-kawan dia!”bentak Arianna, menegaskan kembali spekulasi yang dibuatnya sebentar tadi. Dia benar-benar tidak berpuas hati hanya dua orang sahaja yang didapati bersalah membunuh kakaknya hanya kerana tidak cukup bukti untuk mendakwa lelaki tersebut.
                “Maaf Arianna. Mengikut bukti, suspek ketiga mempunyai saksi untuk membuktikan dia tiada di tempat kejadian. Malah dia juga tidak pernah tahu niat kawan-kawannya. Malah kawan-kawannya juga menafikan pembabitan suspek ketiga. Itu sudah mencukupi untuk majistret melepaskan suspek. Saya harap Arianna bersabar dan terima ini semua dengan redha…”
                Arianna diam. Tanpa menunggu lama dia meninggalkan perkarangan mahkamah. Inspektor Mokhtar sekadar memerhatikan hingga langkah Arianna tidak lagi kelihatan. Nampak benar kemarahan pada gadis muda itu. Inspektor Mokhtar berharap kemarahan itu tidak menjadikan Arianna seorang pendendam. Doanya di dalam hati.

Friday, May 27, 2011

Mengapa Harus Cinta: BAB 2


Arianna memandang ke arah Arissa yang bermain di gigi pantai. Arissa memang sukakan pantai. Ada kedamaian disitu. Itu yang Arissa beritahunya dulu. Arianna pula lebih gemarkan air terjun. Bagi Arianna air terjun sangat nyaman dan bersih tidak seperti laut yang sudah tercemar dengan minyak-minyak kapal dan kesan pembangunan. Apatah lagi air masin pantai akan menyebabkan badan melekit-lekit. Arianna lebih cerewet berbanding Arissa soal kebersihan.
                “Bila abah nak balik ke Terengganu?”soal Arianna. Wajah tenang Encik Azrai yang sedang menyuap sandwich ke mulut dipandang lama. Sudah hampir tiga bulan dia tidak berjumpa dengan abahnya. Kerjaya sebagai jurutera pelantar minyak benar-benar menghadkan waktu bersama.
                “Lusa. Kebetulan je abah ada kerja kat HQ sini. Dua minggu lagi baru abah cuti dalam sepuluh hari,”jelas Encik Azrai.
                “Ala…cepatnya! Adik belum puas lagi duduk dengan abah…”gumam Arianna. Dari dulu lagi dia memang tidak suka dengan jadual kerja abahnya. Lebih banyak masa dihabiskan di tempat kerja berbanding di rumah. Berjumpa juga jarang sekali.
                Encik Azrai dan Puan Ainon tersenyum dengan gelagat Arianna yang manja. Biarpun umur Arianna sudahpun mencecah 16 tahun, anak bongsu itu memang manja dengan semua orang.
                “Nanti bila abah dapat pindah ke Kuala Lumpur kita dapat bersama lagi…”pujuk Encik Azrai.
                Bercahaya anak mata Arianna mendengar bicara Encik Azrai. “Betul ke abah?”. Senyuman lebar terukir di wajah Arianna. Anggukan Encik Azrai menggembirakan lagi Arianna. Arianna bertepuk tangan.
                “Yeah…!!!”
                Arissa yang mendengar suara Arianna menjerit kesukaan berpaling. Arianna sudah pun berlari menuju ke arahnya. Berkerut dahi Arissa melihat perangai adiknya itu. Arianna membisikkan sesuatu kepada Arissa. Wajah Arissa mempamerkan riak terkejut. Tidak percaya dengan apa baru adiknya sampaikan. Arianna menganggukkan kepalanya beberapa kali, meyakinkan lagi Arissa. Perlahan-lahan terukir senyuman di bibir Arissa. Mereka berdua berpegangan tangan dan melompat-lompat kegembiraan di tepi pantai. Ibubapa mereka ketawa senang melihat telatah cahaya mata mereka.
                Usai sahaja bersukaria di pantai Port Dickson itu, mereka sekeluarga bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Destinasi seterusnya adalah UIA Gombak, untuk menghantar Arissa kembali ke asrama. Esok kuliah Arissa sudah bermula. Arissa agak terkilan kerana dia baru sekejap berjumpa dengan abah dan bermanja dengannya. Selepas ini, dia terpaksa menunggu hampir sebulan baru dapat bertemu kembali. Apatah lagi selepas ini dia akan mulai sibuk dengan mid term.
                Arissa mencium tangan abah dan ibunya. Puan Ainon memeluk erat anak perempuannya. Rasa sebak mula bermukim. Entah mengapa terasa berat pula untuk berpisah. Sebaik pelukan dileraikan, Arianna bersalam dengan Arissa. Belum sempat Arianna mengucup tangan Arissa, Arissa terlebih dahulu menarik Arianna ke dalam pelukan. Arianna tergamam seketika sebelum membalas erat.
                “Jaga umi dan abah bila along tak ada…”pesan Arissa. Ditepuk perlahan bahu Arianna.
                Arianna senyum. “Okay, along jangan risau!”
                “Ingat, jangan nakal-nakal. Belajar rajin-rajin, tahun depan adik nak SPM. Jangan asyik main je. Kalau tak buat apa-apa tolong ibu buat kerja rumah…”sambung Arissa. Dipandang tepat ke wajah Arianna. Tiba-tiba hati Arissa dipagut rasa sayu. Entah mengapa Arissa dapat merasakan perpisahan kali ini lebih lama.
                “Ala, along ni! Asyik membebel je…macam orang tua! Tu yang tak ada orang nak ngorat!”omel Arianna.
                Arissa menjegil matanya. Ibubapa mereka tertawa kecil. Arissa memandang pula ke arah ibunya. “Ibu jaga kesihatan ya. Bila along tak ada jangan pula buat kerja yang berat-berat. Minta tolong adik je. Nanti tekanan darah ibu naik lagi..”
                “Iye…ibu tahu. Anak ibu ni macam doktor pulak…”usik Puan Ainon.
                Arissa tersenyum. “Abah hati-hati kat tempat kerja ek?”
                Encik Azrai mengangguk. “Yelah, along pun belajar elok-elok. Jangan lupa solat..”
                “Baik abah. Lepas ni dah tak boleh jumpa abah. Rasa rindu pulak kat abah,”luah Arissa perlahan. Ada getaran di hujung suara.
                Encik Azrai pelik mendengar kata-kata Arissa. “Kenapa pulak along cakap macam tu? Lagi dua minggu abah balik sini lagi. Masa tu along pun dah nak habis exam kan?”
                Arissa mengeluh perlahan. Entah mengapa jauh di sudut hati Arissa terselit rasa sayu. Apakah masih ada kesempatan untuk bertemu. Sebelum beredar, Arissa memaut lengan Arianna. Wajah Arianna yang agak terkejut dipandang lama. “Ingat, jaga ibu dan abah bila along tak ada!”ulang Arissa sekali lagi. tidak mahu Arianna mengambil lewa pesanannya.
                “Adik tahulah along! Okaylah, bye-bye. See you next week!”
                
Arissa melambai-lambai ke arah kereta Waja milik abahnya yang bergerak dan semakin menjauh. Biarpun kelibat kereta sudah hilang di sebalik bangunan namun Arissa masih tercegat di situ. Arissa masih berharap dia dapat menatap wajah-wajah ahli keluarganya. Arissa hanya tersedar apabila teman sebiliknya Naimah datang menegur. Arissa sekadar tersenyum sebelum mengikuti Naimah naik ke bilik. Untuk kesekian kalinya Arissa menoleh ke belakang, memandang ke arah jalan raya.Abah..Ibu..Adik…Along rindu!

***********************************

Arianna menatap kalendar yang tergantung di dinding. 20 Julai 2000. Hari ini adalah harijadi kakaknya yang ke-20.  Hari ini juga ahli keluarganya merancang untuk mengadakan majlis harijadi untuk Arissa yang akan pulang dari asrama. Kebetulan pula abah mereka bercuti pada minggu itu. Sememangnya ini adalah harijadi yang meriah biarpun hanya disambut oleh mereka berempat.
                Puan Ainon telah pun membeli kek Tiramisu kegemaran Arissa pagi tadi di Secret Recipe dan menyediakan masakan spaghetti meatball untuk di makan bersama nanti. Abah pula keluar membeli makanan ringan di pasaraya berhampiran dengan rumah mereka. Arianna pula bertanggungjawab menghias kawasan ruang tamu dengan belon.
                Sedang asyik meniup belon untuk digantung, telefon rumah berdering. Sepantas kilat Arianna menjawab panggilan. Kedengaran suara Arissa di corong telefon.
                “Along! Lambat lagi ke? Kita orang dah prepare ni!”kata Arianna bersungguh-sungguh.
                Arissa ketawa. “Along dah on the way ni. Tapi kawan along singgah beli barang kejap. Nanti dalam 20 minit along sampai…”
                “Kawan? Kawan mana? Kak Imah ke?”tanya Arianna. Meneka mungkin Arissa membawa pulang Naimah bersama.
                “Err…adalah…”balas Arissa, cuba berahsia.
                “Lelaki eh…..”duga Arianna, cuba mengusik.
                Suara Arissa ketawa kecil jelas di pendengaran Arianna. Arianna tahu seandainya Arissa tidak membalas kata-katanya bermakna tekaannya adalah benar. “Siapa along? Bagitahulah!!”desak Arianna tidak sabar.
                “Ish adik ni! Nantilah, dah sampai rumah baru adik tahu, okay?”
                Arianna mencebik bibir. Sehingga talian diputuskan Arissa masih berahsia tentang tetamu misteri yang turut diundang ke majlis harijadinya. Kakaknya itu memang suka berteka teki- Lebih-lebih lagi Arissa tahu Arianna bukanlah seorang yang penyabar. Sengaja dia menyakat adik kesayangannya itu. Lucu melihat muncung panjang Arianna apabila merajuk.
                “Siapa tu dik?”tanya Puan Ainon yang baru sahaja keluar dari dapur.
                Arianna berpaling. “Along, dia kata dah on the way. Along bawak kawan ibu. Mesti boyfriend!”
                “Betul ke?”tanya Puan Ainon, kali ini nadanya kedengaran gembira.
                “Entahlah. Along tu kan suka bagi surprise. Nanti kita tengoklah ibu, siapa tetamu misteri tu!”
                Jam sudah menginjak ke angka 6 petang, namun Arissa masih belum tiba di rumah. Sewaktu dia menelefon, katanya hanya mengambil masa 20 minit. Tetapi sekarang sudah hampir dua jam. Kedua ibubapa Arissa mula resah menunggu di ruang tamu. Arianna pula sedari tadi mendail nombor Arissa namun tiada jawapan. Arianna tiba-tiba merasa tidak sedap hati.
                “Dapat?”tanya Encik Azrai apabila Arianna meletakkan gagang telefon.
                Arianna menggeleng. Kerisauan jelas merajai semua orang yang berada di ruang tamu. Puan Ainon mula bergenang airmata. Dia benar-benar bimbangkan keselamatan Arissa.
                “Kita report polis bang?”usul Puan Ainon.
                “Belum 24jam lagi Ain…lagipun mungkin traffic jam. Kan dia datang dengan kawan dia. Tak ada apa-apalah,”pujuk Encik Azrai. Bahu isterinya dipaut. Cuba meredakan kerunsingan yang bermain di minda Puan Ainon.
                “Saya risau bang. Rasa tak sedap hati je..Macam mana kalau apa-apa terjadi pada Arissa?”luah Puan Ainon.
                “Jangan fikir yang bukan-bukan Ain. Itu cuma mainan perasaan saja. She’s going to be okay!”sangkal Encik Azrai. Tidak mahu isterinya berfikiran negatif tatkala mereka semua sedang risaukan keadaan Arissa.
                “Biar adik try call lagi sekali!”kata Arianna. Sengaja dia mencuba mendial nombor kakaknya. Arianna mahu menyejukkan hati Puan Ainon.
                Loceng pintu berbunyi. Kedengaran suara orang memberi salam. Arissa! Mereka bertiga menuju ke muka pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka, mereka terkejut melihat dua orang lelaki yang berpakaian polis. Dada masing-masing semakin berdebar. Moga-moga bukan berita buruk!
                “Ini rumah Arissa Sofea Binti Azrai?”tanya salah seorang pegawai polis tersebut.
                “Ya, saya ayahnya. Kenapa Tuan?”
                “Encik Azrai? Saya Inspektor Mokhtar. Ini Detektif Khalid…”
                Encik Azrai menyalami kedua-dua pegawai polis di hadapannya. Kedua-dua pegawai polis itu kelihatan serba salah untuk memberitahu tujuan mereka ke situ. Tidak terlintas untuk menyampaikan sesuatu yang menyedihkan, tetapi itu adalah kewajipan mereka sebagai anggota polis. Tidak kira siapa dan masa, mengetepikan segala gelodak perasaan, tugas perlu diutamakan.
                “Maafkan saya Encik Azrai. Sebentar tadi anggota kami menjumpai mayat anak encik di sebuah belukar di Semarak. Harap encik dapat ke Hospital Kuala Lumpur untuk membuat pengecaman….”
                Encik Azrai tergamam. Puan Ainon terus pengsan namun suaminya sempat memaut sebelum tubuhnya menyembah lantai. Arianna kaku di belakang ibubapanya. Mayat? Hospital? Tiap bait kata yang didengar ibarat bumi terbelah dua. Arianna seperti terkena renjatan elektrik. Arianna berharap apa yang didengarnya adalah satu mimpi ngeri dan Arianna mahu lekas-lekas tersedar dari mimpi itu.
Bukan mudah untuk menerima orang yang tersayang pergi begitu sahaja. Biarpun terasa seperti satu mimpi ngeri namun itulah yang benar-benar berlaku. Sehingga mereka bertiga memijak kawasan hospital, mereka masih tidak mahu mempercayai bahawa Arissa telah tiada. Ketika mata tertancap pada perkataan ‘Bilik Mayat’, mereka masih menidakkan apa yang telah terjadi. Inspektor Mokhtar menghampiri Encik Azrai dan menyuruhnya masuk ke bilik mayat tersebut. Arianna dan Puan Ainon membontoti dari belakang dengan langkah yang lemah. Di dalam hati Arianna berharap apa yang berlaku tidak benar.
                Kedinginan pendingin hawa di dalam bilik mayat itu dapat dirasai hingga ke tulang sumsum. Tatkala menghampiri sebuah troli Arianna berdebar-debar. Terdapat satu jasad kaku terbaring diselimuti kain putih. Puan Ainon memegang erat tangan suaminya. Sebaik sahaja doktor menyingkap selimut putih itu, Puan Ainon sekali lagi pengsan. Encik Azrai tergamam. Tubuh isterinya dipaut daripada tersembam ke lantai. Airmatanya menitis. Arianna pula kaku di tempatnya. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
                “Bukan…bukan…bukan….”suara Arianna separuh berbisik. Kepalanya digelengkan berulang kali. Airmatanya mula merembes keluar, ibarat empangan yang pecah.
                Encik Azrai menoleh ke arah Arianna yang sudah tidak tentu arah. “Along, dik…along…” Encik Azrai tidak dapat meneruskan kata-katanya. Kesedihan merajai hatinya. Melihat jenazah anaknya yang kaku di pembaringan membuatkan Encik Azrai tidak mampu menahan perasaan. Apatah lagi jasad Arissa yang penuh dengan kesan lebam dan luka di hampir keseluruhan tubuhnya.
                “Along!!!”tempik Arianna. Diterpa ke arah Arissa yang kaku. Dipeluk tubuh yang tidak bernyawa itu. Arianna mengongoi kesedihan sambil berulang kali memanggil kakaknya. Namun Arissa tidak mungkin akan menyahut. Arissa tidak bergurau mahupun mengusiknya. Arissa benar-benar telah mati.
                “Encik Azrai…”
                Encik Azrai berpaling ke arah pegawai polis yang turut bermuram menyaksikan kesedihan yang melanda keluarganya.
                “Sekali lagi saya ucapkan takziah…”ucap pegawai polis yang bernama Mokhtar itu. Encik Azrai sekadar membalas dengan anggukan yang perlahan.
                “Maafkan saya Encik Azrai. Mungkin ini bukanlah masa yang sesuai tapi saya cuma menjalankan kewajipan saya sebagai pegawai polis. Menurut laporan bedah siasat, sebelum anak encik dibunuh, ada tanda-tanda anak encik dirogol…”
                Encik Azrai terkejut. Dia memandang Mokhtar seakan tidak percaya. Arianna turut tersentak. Puan Ainon yang masih mamai turut terkejut. Rogol?
                “Semasa kami menemui mayat Arissa, dia hampir separuh bogel. Menurut laporan memang ada kesan koyakan di kemaluannya. Kami syak, pembunuh mungkin membunuh mangsa untuk menutup kesalahan rogolnya…”jelas Mokhtar.
                “Siapa? Siapa yang sanggup buat ni semua Tuan?”soal Encik Azrai sedih.